Ragut rantai leher, penghantar surat dipenjara 3 tahun 


SEORANG penghantar surat dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini kerana meragut seutas rantai leher emas seorang wanita membabitkan kerugian RM10,000, dua bulan lepas.

Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulizan Johari, 41, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes itu hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 September lepas.

Zulizan didakwa meragut seutas rantai leher emas dengan tujuan hendak menyamun dan dengan sengaja menyebabkan ketakutan terhadap Shaleena Mohd Shah, 49, tukang cuci di Jalan Klang Lama, Brickfields di Kuala Lumpur pada 9 malam, 20 September lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang bertemu mangsa telah mencekik wanita itu lalu meragut rantai leher bernilai RM10,000 dipakai mangsa. Hasil siasatan mendapati, tertuduh kemudian menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas pada harga RM5,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama, 29 November, 2022.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen