Tangguh kes jenayah ahli politik, cadang Zaid Ibrahim


Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kes jenayah melibatkan ahli politik wajar ditangguhkan atas kebimbangan wujud pendakwaan terpilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

SEMUA kes jenayah melibatkan ahli politik wajar ditangguhkan buat sementara waktu ketika pihak berkuasa menyiasat elemen jenayah dalam buku bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Semua kes itu perlu ditangguhkan atas kebimbangan wujud pendakwaan terpilih, katanya kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT).

Beliau mencadangkan kes-kes itu ditangguhkan sehingga peguam negara baharu dilantik kerana Idrus Harun yang menggantikan Thomas “gagal” serta tidak membantu keadaan.

“Semua kes berprofil tinggi patut ditangguhkan sehingga pelantikan AG baharu, yang pasti akan berlaku menyusuli pilihan raya umum akan datang,” katanya, seperti dipetik FMT.

Antara ahli politik yang sedang dibicarakan di mahkamah termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Presiden Muda merangkap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga sedang dituduh di mahkamah.

Dua pemimpin Umno lain iaitu Timbalan Ketua Menteri I Sabah Bung Moktar Radin dan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru juga sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu mengarahkan siasatan lanjut ke atas Thomas selepas Jemaah Menteri menerima laporan siasatan ke atas kandungan buku memoirnya  ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Buku itu terbit selepas Thomas letak jawatan susulan peralihan kerajaan pada Mac 2020.

Pasukan petugas khas siasatan ke atas buku Thomas mendapati ada kemungkinan beberapa salah laku jenayah termasuk salah guna kuasa. – 4 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen