Rakyat Singapura sokong hukuman mati bagi jenayah berat, kata kajian


Satu daripada kajian oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura mendapati 74% responden bersetuju atau sangat bersetuju wajar hukuman mati dikenakan bagi jenayah paling serius. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

TERDAPAT sokongan kuat dalam kalangan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) bagi pelaksanaan hukuman mati sebagai balasan kepada jenayah paling serius, seperti pembunuhan dengan sengaja, penggunaan senjata api dan mengedar dadah dalam jumlah yang besar.

Kesimpulan itu hasil tiga kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (MHA) diterbitkan di bahagian ‘Penerbitan’ dalam laman sesawangnya pada Rabu.

Satu daripada kajian itu bertajuk ‘Attitudes towards the Use of Capital Punishment’ mendapati 74 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju wajar hukuman mati dikenakan bagi jenayah paling serius.

Kajian itu dilaksanakan MHA pada 2019 dan dikendalikan Dr Carol Soon dan Shawn Goh dari Institut Kajian Dasar.

Soalan khusus mengenai ‘hukuman mati mandatori’, kajian mendapati 71.4 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati perlu diwajibkan untuk pembunuhan dengan sengaja.

Sementara itu, 61.5 peratus bersetuju atau sangat bersetuju berhubung kesalahan mengedar dadah dengan sengaja; dan 60.1 peratus bersetuju berhubung penggunaan senjata api.

‘Hukuman mati mandatori’ bermakna mahkamah perlu menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah sebaik sahaja didapati bersalah dan tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman lain, menurut kajian itu.

Kajian itu juga mendapati bahawa 78.2 peratus responden percaya bahawa hukuman mati berfungsi mencegah jenayah secara umum.

Berhubung dengan pengedaran dadah, kajian menunjukkan 78.9 peratus responden percaya hukuman itu boleh menghalang individu daripada mengedar dadah ke Singapura; dan 70.8 peratus percaya ia lebih berkesan berbanding hukuman penjara seumur hidup.

Satu lagi kajian bertajuk ‘Perception of Residents in Regional Cities on Singapore’s Crime Situation, Law and Safety’ mendapati 87.2 peratus percaya hukuman mati menyebabkan orang ramai tidak mahu mengedar dadah dalam jumlah yang banyak ke Singapura.

Kajian itu juga menunjukkan 2.5 peratus percaya hukuman mati lebih berkesan berbanding penjara seumur hidup bagi menghalang individu mengedar dadah ke Singapura.

Kajian itu dijalankan Pusat Sains Tingkah Laku Pasukan Rumah MHA dan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pada 2018 dan 2021.

Kajian ketiga pula dijalankan Bahagian Penyelidikan dan Statistik MHA pada 2021 bertajuk ‘Survey on Singapore Residents’ Attitudes towards the Death Penalty’. – Bernama, 19 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen