Mayat wanita reput di Ipoh berpunca akibat dicekik


HASIL bedah siasat ke atas mayat seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan reput berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun di Ipoh hari ini berpunca akibat dicekik.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut, siasatan identiti mangsa dipercayai seorang wanita tempatan berumur 23 tahun berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan.

“Telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu Mohd Yusri meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 bagi membantu siasatan.

Hari ini media melaporkan mayat wanita ditemukan dalam kawasan semak selepas pihaknya menerima maklumat pada 5.25 pagi tadi mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.

Mohd Yusri berkata semasa anggota polis tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu mereka menjumpai satu mayat reput dalam kawasan semak dengan jarak lebih kurang dua meter dari lokasi kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki itu terbabas. – Bernama, 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen