15 maut, pasukan keselamatan tamatkan kepungan di hotel Mogadishu


Al-Shabab melancarkan pemberontakan hampir dua dekad bagi menggulingkan kerajaan disokong antarabangsa, mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaharu hotel. – Gambar AFP, 29 November, 2022.

PASUKAN keselamatan Somalia pada Isnin memaklumkan pihaknya menamatkan kepungan lebih 20 jam ke atas sebuah hotel terkenal di Mogadishu, manakala 15 orang dilaporkan terbunuh termasuk enam penyerang dalam kejadian itu.

Jurucakap Pasukan Polis Somalia, Sadiq Dudishe berkata lima anggota al-Shabab ditembak mati, manakala seorang lagi bertindak meletupkan dirinya selepas kumpulan itu menyerbu Hotel Villa Rosa kira-kira 8 malam Ahad.

Dudishe berkata lapan orang awam dan seorang tentera turut terbunuh manakala lima lagi cedera dalam serangan yang mendapat kecaman masyarakat antarabangsa, lapor Xinhua.

“Seramai 60 orang berjaya diselamatkan dari hotel itu,” katanya pada sidang media di Mogadishu.

Hotel itu merupakan lokasi terkenal bagi pegawai kanan kerajaan termasuk komuniti perniagaan dan tiga menteri turut berada di hotel itu ketika serangan dilancarkan, menurut polis.

Masih tidak jelas bagaimana kumpulan itu berjaya menyerbu hotel yang dikawal rapi tetapi saksi mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan di pintu pagar hotel sebelum penyerang menyerbu masuk.

Al-Shabab yang melancarkan pemberontakan hampir dua dekad bagi menggulingkan kerajaan yang disokong antarabangsa, mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaharu itu.

Kumpulan itu mendakwa anggotanya mensasarkan para pegawai yang berkumpul di hotel itu.

Serangan hotel itu adalah serangan ketiga oleh al-Shabab sejak kerajaan baharu mengambil alih pada Mei. – Bernama, 29 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen