Somalia beri amaran media tidak siar propaganda Al-Shabaab


Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud berjanji untuk menamatkan pemberontakan selama 15 tahun yang dicetuskan kumpulan Al-Shabaab. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2022.

KERAJAAN Somalia semalam mengumumkan tindakan keras terhadap media yang menyiarkan apa yang disifatkan sebagai propaganda bagi kumpulan militan Al-Shabaab dan memberi amaran pesalah akan dihukum.

Tindakan itu dibuat ketika angkatan bersenjata Somalia, disokong oleh militia tempatan dan sekutu antarabangsa, melancarkan pemberontakan balas yang agresif terhadap sekutu Al-Qaeda.

“Saya ingin memaklumkan kepada media Somalia dan semua rakyat Somalia secara amnya bahawa kami akan menganggap semua liputan propaganda berkaitan Al-Shabaab termasuk tindakan pengganas dan ideologi mereka sebagai jenayah yang boleh dihukum,” kata Timbalan Menteri Penerangan Abdirahman Yusuf.

“Kerajaan Somalia melarang sama sekali semua jenis liputan berkaitan ideologi pengganas dan tindakan ugutan oleh (Al-Shabaab),” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu negara Mogadishu.

“Klip audio, video, foto dan mesej mereka tidak boleh disebarkan.”

Yusuf berkata kerajaan juga melancarkan operasi siber terhadap “akaun pengganas” di media sosial dan menutup lebih 40 di platform seperti Facebook dan Twitter dalam tempoh 48 jam yang lalu.

“Sumber dalam talian lain seperti aplikasi dan laman web yang digunakan pengganas untuk menyebarkan mesej mereka juga akan dikesan dan digantung,” tambahnya.

Yusuf menegaskan ia bukan soal mengekang kebebasan bersuara dan kemudian memberitahu AFP langkah itu tidak akan menjejaskan liputan berita biasa mengenai Al-Shabaab oleh wartawan di Somalia.

Presiden Somalia baharu Hassan Sheikh Mohamud berikrar perang habis-habisan ke atas pengganas selepas beberapa serangan maut, termasuk pengepungan hotel selama 30 jam di ibu negara Mogadishu pada Ogos yang mengorbankan 21 orang.

Pengganas adalah daripada kumpulan yang digulingkan dari Mogadishu pada 2011 tetapi terus menyerang sasaran tentera, kerajaan dan orang awam yang kerap membawa maut. – AFP, 9 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen