Presiden Somalia ikrar perangi Al-Shabaab habis-habisan


Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud berjanji untuk menamatkan pemberontakan selama 15 tahun yang dicetuskan kumpulan Al-Shabaab. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2022.

PRESIDEN Somalia Hassan Sheikh Mohamud semalam berikrar akan memerangi habis-habisan Al-Shabaab selepas kumpulan militan itu menyerang sebuah hotel selama 30 jam di Mogadishu minggu lepas.

Serangan pada malam Jumaat itu adalah insiden terbesar yang melanda ibu negara Somalia sejak Mohamud memegang jawatan pada Jun, dan berjanji untuk menamatkan pemberontakan selama 15 tahun yang dicetuskan kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda itu.

Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan 117 lagi cedera dalam serangan senjata api dan letupan bom yang menyasarkan Hotel Hayat di Mogadishu. Kerajaan Norway mengesahkan seorang warganya antara yang terbunuh.

“Saya tahu rakyat Somalia sudah jemu dengan ucapan takziah dan berkabung. Saya tahu anda kehilangan orang yang dihormati dalam setiap serangan yang dilakukan pengganas.

“Maka saya menyeru anda untuk bersedia untuk perang habis-habisan terhadap mereka yang kejam, yang mengancam keamanan kita.

“Kerajaan berazam untuk melemahkan pengganas yang memusnahkan rakyat sehingga semua kawasan yang mereka kuasai dibebaskan. Ini adalah keutamaan kerajaan, dan penyediaan serta pelaksanaan rancangan itu sedangdilakukan,” kata Mohamud dalam kenyataan.

Hotel The Hayat begitu popular di Mogadishu yang sering dikunjungi pegawai kerajaan dan orang awam. – AFP, 24 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen