Al-Shabaab mengaku dalang serangan bom kereta di Somalia


Kumpulan pengganas al-Shabaab semalam mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom trak Sabtu lepas di Somalia yang meragut 80 nyawa. – Gambar AFP, 31 Disember, 2019.

KUMPULAN pengganas al-Shabaab pada Isnin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom trak Sabtu lepas di Somalia yang meragut 80 nyawa, termasuk dua rakyat Turki, dan mencederakan lebih 150 orang.

Agensi berita Anadolu melaporkan bahawa beberapa jam sebelum pengumuman kumpulan itu, Agensi Perisikan dan Keselamatan Negara Somalia (NISA) menyatakan di Twitter bahawa mereka telah mendapat petunjuk bahawa sebuah kerajaan asing menjadi dalang di sebalik serangan itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Dalam rakaman audio berdurasi 24 minit yang disiarkan menerusi radio propaganda al-Shabaab, kumpulan pengganas yang bersekutu dengan al-Qaeda dan berpangkalan di Somalia itu mendakwa bahawa mereka menyasarkan satu konvoi Turki di sebuah persimpangan di pinggir ibu kota Mogadishu.

Ali Mohamud Rage, juga dikenali sebagai Ali Dhere, yang merupakan jurucakap kumpulan itu berkata mereka telah melancarkan serangan terhadap apa yang mereka gelar sebagai “penceroboh Turki dan pengawal peribadi mereka dan kami telah membunuh kebanyakan daripada mereka.”

Turki memiliki hubungan sejarah yang kuat dengan Somalia atas prinsip “menang-menang” termasuk lebih 150 projek bantuan pembangunan yang dilaksanakan oleh Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) sejak 2011.

Selepas serangan pada Sabtu, Turki telah menerbangkan doktor ke lokasi kejadian dan membawa 16 rakyat Somalia ke hospital di Turki untuk merawat kecederaan mereka selain merawat 36 lagi di sebuah hospital yang dibina dan dibiayai Turki di ibu negara.

September ini, sekurang-kurangnya dua orang cedera dalam satu serangan bom yang menyasarkan sebuah kenderaan Yayasan Maarif Turki di Mogadishu, yang turut didakwa dilakukan oleh al-Shabaab.

Pengumuman al-Shabaab itu telah mengundang kutukan keras seorang senator Somalia.

“Mengaku bertanggungjawab atas serangan yang telah meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah termasuk ramai pelajar membuktikan bahawa ia adalah satu tindakan yang keji dan bersifat pengecut,” kata Senator Ilyas Ali Hassan di Twitter. – Bernama, 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen