3 orang awam terbunuh dalam pertempuran di Somalia


Pasukan tentera Somalia bertempur dengan kumpulan Al-Shabaab yang melakukan serangan hendap di timur laut Janele.– Gambar EPA, 10 Jun, 2020.

TIGA orang awam terbunuh manakala dua lagi cedera dalam pertempuran antara kumpulan militan Al-Shabaab dan tentera Somalia, kata Kesatuan Afrika.

Menurut Misi Kesatuan Afrika di Somalia (Amisom), pasukan tentera bertempur dengan kumpulan Al-Shabaab yang melakukan serangan hendap di timur laut Janele yang dikuasai kumpulan militan berkenaan.

“Malangnya, tiga wanita terbunuh dalam serangan itu manakala dua lagi cedera dan kini menerima rawatan di hospital Amisom,” kata Amisom dalam satu kenyataan pada Selasa.

“Kami ingin sampaikan permohonan maaf dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh.”

Ketua Duta Amisom Francisco Madeira berkata insiden berkenaan sangat malang dan pasukan pengaman yang dikerahkan di Somalia terus komited dalam melindungi penduduk.

Sementara itu, pasukan tentera Amisom mendakwa kumpulan militan Al-Shabaab turut bertanggungjawab dalam pembunuhan orang awam dalam operasi sebelum ini.

Tentera udara Amerika Syarikat sering melancarkan serangan udara yang menyasarkan kumpulan militan berkenaan, pada April mengumumkan salah satu serangan dron yang dilancarkan turut menyebabkan dua orang awam terbunuh.

Ia merupakan kali kedua tentera udara AS mengakui menyebabkan orang awam terbunuh dalam serangan dron di Somalia. – AFP, 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen