KUMPULAN militan Al-Shabaab menyerang sebuah hotel berhampiran di istana presiden di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Ahad, kata polis.
Menurut saksi, bunyi letupan dan tembakan kedengaran di tengah ibu kota itu.
“Sepasukan pejuang Al-Shabaab menyerang sebuah hotel komersial di daerah Bondhere dan pasukan keselamatan sedang berusaha untuk menghapuskan mereka,” kata jurucakap polis Somalia Sadik Dudishe dalam satu kenyataan.
Menurutnya ramai orang awam dan pegawai kerajaan telah diselamatkan dari Villa Rose, sebuah hotel yang popular dengan ahli politik di kawasan berhampiran pejabat Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud.
Saksi mendakwa terdengar letupan kuat diikuti dengan tembakan.
“Saya berada hampir dengan Villa Rose apabila dua letupan kuat menggegarkan hotel,” kata seorang saksi, Aadan Hussein.
“Terdapat tembakan yang kuat. Kawasan itu dikepung dan saya nampak orang ramai melarikan diri.”
Laman web hotel menggambarkan Villa Rose sebagai “penginapan paling selamat di Mogadishu” yang dilengkapi pengesan logam dan dinding berperimeter tinggi.
Al-Shabaab, kumpulan militan yang bergabung dengan Al-Qaeda yang cuba menggulingkan kerajaan pusat Somalia di Mogadishu selama 15 tahun, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Misi Peralihan Kesatuan Afrika di Somalia (ATMIS), mengutuk serangan itu.
“ATMIS seterusnya memuji pasukan keselamatan Somalia atas tindak balas pantas bagi mengelakkan lebih banyak korban dan kerosakan harta benda,” kata ATMIS di Twitter. – AFP, 28 November, 2022.
Komen