PRU15: Kenapa kerajaan tidak stabil?


Ruhan Shahrir

Dalam konteks Malaysia penggal pemerintahan sesebuah kerajaan itu adalah selama lima tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

KETIDAKSTABILAN kerajaan adalah suatu fenomena yang merujuk kepada kegagagalan sesebuah parti atau gabungan parti untuk memerintah sebagai kerajaan sehingga habis penggal sama ada kerana ia dijatuhkan atau ada anggotanya yang melompat parti atau adanya perpecahan dalaman atau pengkhianatan anggota parlimennya atau pelbagai sebab yang lain sehinggakan kerajaan terpaksa bertukar-ganti sebelum penggal yang sepatutnya tamat.

Dalam konteks Malaysia penggal pemerintahan sesebuah kerajaan itu adalah selama lima tahun.

Buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, pasca-PRU14, kerajaan yang dipilih iaitu PH gagal untuk menghabiskan penggalnya. Dijatuhkan selepas 22 bulan memerintah dan digantikan dengan kerajaan gabungan PN + BN. Manakala jawatan ketua eksekutif negara, Perdana Menteri silih bertukar-ganti sebanyak tiga kali, juga sebelum habis penggal. Ini adalah suatu bentuk ketidakstabilan kerajaan.

Persoalan selanjutnya ialah kenapa wujudnya ketidakstabilan kerajaan di Malaysia mutakhir ini?

Sebelum kita menjawab persoalan ini, elok kiranya kita mencermati apa yang dikatakan kestabilan kerajaan sebelum PRU14 yang lalu.

Kestabilan yang diperolehi oleh kerajaan BN sebelum PRU14 adalah berlatarkan kepada bentuk pemerintahannya yang bersifat autokratik yang membataskan ruang kebebasan bersuara, berhimpun dan berorganisasi menerusi undang-undang yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencetuskan Gerakan Reformasi 1998 selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan hasil perjuangan gerakan masyarakat sivil, sudah beratus-ratus aktivis politik yang telah ditahan tanpa bicara. Dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 misalnya, terdapat 119 tangkapan di bawah ISA yang sebahagian besarnya melibatkan pimpinan dan aktivis politik daripada parti-parti pembangkang. Manakala beberapa suratkhabar seperti Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh telah diharamkan daripada diterbitkan dalam kejadian tersebut.

Begitu juga ketika Gerakan Reformasi 1998, sekali lagi ISA digunakan dan tindakan-tindakan kekerasan telah dilakukan oleh kerajaan untuk meredam kebangkitan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang menentang pemerintahan kerajaan BN yang dipimpin oleh Mahathir pada ketika itu.

Selain daripada tindakan tangkapan tanpa bicara serta kekerasan yang dilakukan oleh institusi negara seperti polis, media massa yang kritis terhadap kerajaan turut diganggu, dikekang dan dibatasi penerbitan serta penyebarannya.

Malahan pada era Gerakan Reformasi 1998, terdapat beberapa orang pimpinan mahasiswa yang diugut, diancam, ditangkap dan dibuang universiti. Manakala dua daripada pimpinan mahasiswa era tersebut, Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin telah ditahan tanpa bicara bawah ISA.

Justeru, yang dikatakan kestabilan kerajaan pra-PRU14 itu sebahagiannya adalah berlatarkan kekerasan dan penggunaan undang-undang yang tidak demokratik serta melanggar hak asasi manusia. Perbezaan politik ditangani bukan dengan cara yang demokratik tapi autokratik.

Pada era-era tersebut, BN yang memerintah sememangnya berjaya menghabiskan penggal mereka tanpa perlu bertukar kerajaan atau berganti Perdana Menteri, tetapi korban “kestabilan” adalah kemanusiaan itu sendiri – menerusi penggunaan kekerasan, pelanggaran hak asasi manusia, pembatasan demokrasi, pembuangan dari universiti, ugutan dan ancaman serta pemenjaraan pimpinan, tokoh dan aktivis politik.

Namun pada hari ini, dengan wujudnya kesedaran yang relatifnya lebih tinggi di kalangan masyarakat awam berkenaan isu-isu demokrasi dan hak asasi manusia, bentuk pemerintahan autokratik yang diamalkan oleh kerajaan Umno/BN sebelumnya semakin sukar untuk diterima.

Ia menjadikan kerajaan yang memerintah tidak popular bukan sahaja di peringkat masyarakat antarabangsa tetapi juga di kalangan masyarakat tempatan sendiri.

Ini terbukti apabila buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia, kerajaan BN kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen dalam PRU12 pada 2008. Sepuluh tahun kemudian, pada 2018, Umno/BN tumbang pada PRU14.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masih berhadapan dengan kes mahkamah yang melibatkan 47 tuduhan berkaitan dengan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Penelusuran ke masa lalu untuk kita lebih kritis di dalam menanggapi wacana kestabilan ini masih belum menjawab persoalan kenapa kerajaan tidak stabil mutakhir ini?

Huraiannya ada pelbagai sebab. Tapi saya hanya ingin menumpukan kepada tiga sebab sahaja dalam tulisan ini – sosok individu, parti, dan masyarakat Melayu.

Pada hemat saya benih ketidakstabilan kerajaan (baca kerajaan Umno/BN) itu mulai ditanam apabila Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir Mohammad pada 2 September 1998.

Pemecatan yang memeranjatkan masyarakat ini telah mengganggu kelancaran sistem pewarisan kepimpinan negara. Pewaris kepada kepimpinan negara selepas Mahathir sepatutnya adalah Anwar Ibrahim.

Namun ini bukan sahaja tidak berlaku, tetapi Anwar dituduh pula dengan suatu tuduhan yang cukup mengaibkan pada pandangan sebahagian besar masyarakat Melayu pada waktu itu.

Ternyata Anwar bukanlah seperti dua Timbalan Perdana Menteri sebelumnya, Musa Hitam dan Ghafar Baba, yang turut diketepikan oleh Mahathir tetapi tidak melawan.

Anwar adalah sosok yang bangkit melawan. Anwar adalah sosok yang bangun menggembeling sentimen masyarakat Melayu khususnya pada ketika itu untuk turun ke jalan-jalan raya melawan kerajaan.

Menerusi ketokohan, jaringan dan pengaruh beliau di kalangan organisasi-organisasi masyarakat sivil serta orang awam yang telah dibina beliau sejak puluhan tahun dahulu, ratusan ribu rakyat telah turun ke jalan-jalan raya bagi memprotes tindakan yang dilakukan oleh Mahathir itu.

Anwar sebagai sosok individu adalah tokoh pencetus serta pemangkin kepada gerakan reformasi 1998, yang merupakan suatu titik peralihan penting dalam sejarah politik Malaysia.

Kalau dulunya sebelum gerakan reformasi 1998 dilancarkan, Umno menguasai persada kuasa politik negara hampir tanpa saingan dari parti mana pun. Namun begitu, gerakan reformasi 1998 telah mengubah keadaan tersebut.

Anwar dan aktivis gerakan reformasi telah membuka suatu wadah politik alternatif baru yang berbentuk multi-etnik menerusi penubuhan Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk melahirkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat mereka yang menolak kepimpinan Mahathir dan Umno.

Namun ketokohan Anwar sebagai individu semata-mata tidak mungkin dapat menggoncangkan kerajaan BN yang diterajui oleh Umno jika sekiranya tidak terdapat barah serius yang sedang merebak dalam tubuh parti Umno itu sendiri.

Walaupun kerajaan tidak bertukar-ganti setelah selesai PRU10 pada tahun 1999, namun barah yang dihidapi oleh Umno sudah tidak terawat lagi.

Barah yang saya maksudkan itu ialah Umno yang semakin lama semakin luntur idealisme nasionalisme Melayunya sehinggakan ia dianggap sebagai parti untuk penagih-penagih kontrek dan projek dari yang berkedudukan tinggi di dalam parti sehinggalah kepada yang berkedudukan rendah.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik Bersatu bersama 11 ahli Parlimen PKR keluar daripada gabungan kerajaan PH.– Gambar fail The Malaysian Insight,18 November, 2022.

Umno dalam konteks ini tidak lagi menjadi wadah untuk memperjuangkan agenda nasionalisme Melayu seperti mana di waktu awal penubuhannya, sebaliknya Umno telah menjadi wadah buat mereka yang berahikan jawatan, kedudukan, kontrek, projek dan keuntungan peribadi.

Justeru, tidaklah menghairankan apabila mantan Presiden Umno sendiri, Najib Razak pada akhirnya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh mahkamah di atas kesalahan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Manakala Presiden Umno sekarang, Zahid Hamidi, masih berhadapan dengan kes mahkamah yang melibatkan 47 tuduhan berkaitan dengan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akal Budi.

Kerosakan dalaman Umno ini menampakkan kepada masyarakat awam bahawa perjuangan utamanya bukan lagi untuk mengangkat agenda Melayu tapi agenda individu pemimpin-pemimpinnya.

Justeru, ketidakstabilan kerajaan Umno/BN bukan hanya semata-mata kerana wujudnya sosok individu pelawan yang kental dan berpengaruh seperti Anwar, tetapi juga kerosakan dalaman Umno sendiri yang menyebabkan parti Melayu tersohor itu terpecah kepada pelbagai kumpulan.

Perpecahan itu membawa kepada penubuhan parti serpihan, Bersatu, yang turut menawarkan satu lagi alternatif baru selain Umno kepada pengundi-pengundi Melayu khususnya. Bersatu kemudiannya pula terpecah apabila pengerusinya, Mahathir dipecat dan menubuhkan satu lagi parti berteraskan Melayu, iaitu Pejuang.

Ringkasnya, perpecahan dalaman yang berlaku ke atas parti terbesar bangsa Melayu iaitu Umno telah melahirkan PKR pada tahun 1999, Bersatu pada tahun 2016, dan Pejuang pada tahun 2020.

Tidak seperti Parti Semangat 46 yang berpecah tapi kemudiannya kembali ke pangkuan Umno, ketiga-tiga parti tersebut (PKR, Bersatu dan Pejuang) masih bersaing dengan Umno dan juga sesama sendiri untuk merebut kuasa politik di Putrajaya.

Kesan daripada perpecahan parti terbesar Melayu itu akhirnya mengakibatkan Umno tumbang buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia pada 9 Mei 2018.

Ramai penganalisis meletakkan faktor penyertaan Mahathir/Bersatu ke dalam gabungan Pakatan Harapan sebagai salah satu sebab yang membolehkan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan Umno/BN pada PRU14 tersebut.

Namun malangnya, selepas hanya 22 bulan memerintah, Pakatan Harapan pula yang ditumbangkan apabila Mahathir meletakkan jawatan, manakala Bersatu berserta 11 anggota parlimen PKR menarik diri daripada kerajaan dan membentuk blok politik baru yang kemudiannya bergabung dengan PAS dan Umno/BN untuk menubuhkan kerajaan baru. 

Ketidakstabilan kerajaan (baca pertukaran kerajaan sebelum tamat penggal) yang berlaku, pada hemat saya, sebahagiannya berpunca daripada “keterpendaman Melayu” apabila Pakatan Harapan mulai diasak menerusi siri demonstrasi jalanan anjuran parti-parti pembangkang ketika itu (Umno/BN dan PAS), disusuli kekalahan Pakatan Harapan berturut-turut di empat Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands, Rantau, Semenyih dan Tanjung Piai.

Kekalahan itu kerana beralihnya sokongan pengundi-pengundi masyarakat Melayu daripada Pakatan Harapan kepada Umno/BN. Peralihan sokongan ini pada hemat saya berpunca daripada ketidakyakinan sebahagian besar daripada masyarakat Melayu kepada pemerintahan Pakatan Harapan yang dianggap (atau dipropagandakan?) sebagai gagal untuk menjaga, mempertahan dan melindungi kepentingan-kepentingan Melayu.

Keadaan ini lebih parah lagi apabila terdapat beberapa tindakan DAP, salah satu parti komponen terbesar dalam Pakatan Harapan, yang tidak lunak dalam menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu serta Islam.

Hakisan kepercayaan sebahagian besar daripada masyarakat Melayu terhadap Pakatan Harapan pada ketika itu telah mendorong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk menarik Bersatu bersama 11 anggota parlimen PKR, keluar daripada gabungan kerajaan PH yang pada akhirnya menumbangkan kerajaan yang telah diberikan mandat rakyat menerusi PRU14.

Apa yang boleh disimpulkan daripada pengkisahan di atas ialah tanpa sokongan sebahagian besar daripada masyarakat Melayu, yang merupakan masyarakat teras dalam lanskap politik Malaysia, kestabilan sesebuah kerajaan itu sukar untuk dijamin, walaupun ia berjaya memenangi pilihan raya umum. Ini bukanlah sesuatu yang pelik.

Di banyak tempat lain juga, masyarakat teras yang dari sudut demografinya majoriti dan dari sudut sejarahnya sudah membina politi-politi pemerintahan terdahulu cenderung menjadi penentu kepada kelangsungan sesebuah kerajaan yang ditubuhkan.

Kerajaan yang gagal mendapat sokongan dan dukungan daripada masyarakat Melayu, cenderung tidak stabil seperti mana yang telah kita saksikan dalam episod-episod pasca-PRU14.

Justeru, persoalan selanjutnya – bagaimana pula dengan PRU15 dan pasca-PRU15 pada kali ini? – 18 November, 2022.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen