Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Wan Azizah


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas timbalan perdana menteri Wan Azizah Wan Ismail atas pemergian ibunya, Mariah Khamis, hari ini.

Menerusi catatan dalam laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut hantaran itu.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Mariah menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 88 tahun di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang pada jam 2.45 pagi tadi. – Bernama, 24 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen