PENGERUSI Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu pengundi kawasan Pandan supaya memilih siapa sahaja yang dicalonkan parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Pandan berkata sama ada beliau atau Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang baru-baru ini menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan itu dicalonkan kelak, pengundi diseru untuk terus memberi sokongan.
“Kalaulah ditadirkan saya bertanding di sini, bagilah undi.
“Tapi kalau ditakdirkan Rafizi Ramli bertanding di sini, bagilah undi kepada Rafizi,” katanya di hadapan kira-kira 200 hadirin pada ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Pandan, Selangor malam tadi.

Rafizi awal bulan ini berkata beliau sudah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Pandan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada pucuk pimpinan PKR.
Rafizi menang kerusi parlimen Pandan ketika pertama kali bertanding pada 2013, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi.
Beliau tidak bertanding pada PRU14 selepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan setelah didapati bersalah membocorkan butiran perbankan sulit milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.
Pada November 2019, mahkamahmembenarkan rayuan Rafizi untuk mengetepikan sabitan bersalah ke atasnya kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia), serta membatalkan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya.
Wan Azizah kemudian bertanding di kerusi Pandan pada PRU14 dan menewaskan calon BN Leong Kok Wee dengan majoriti 52,543 undi.
Dalam ceramah malam tadi Wan Azizah berkata Malaysia memerlukan pemimpin muda dan berani seperti Rafizi, yang bersuara untuk rakyat.
“Kita mahukan anak muda, kita mahukan yang berani, yang ke depan, berani masuk penjara dan berani mengatakan yang benar,” katanya. – 5 Oktober, 2022.
Komen