Wan Azizah seru ahli PKR bersatu hadapi PRU15


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru semua ahli PKR bersatu dan mengamalkan disiplin diri sebagai persediaan menjelang PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Julai, 2022.

PKR mesti berhenti bertelagah dan bersatu selepas ahli membuat pilihan mereka dalam pemilihan parti, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada parti itu hari ini.

“Kepimpinan sudah dipilih dan kita mesti mengamalkan disiplin diri,” kata pengasas dan bekas presiden parti itu semasa merasmikan Kongres Wanita PKR di Shah Alam hari ini.

“Keputusan sudah dibuat secara demokrasi selepas berunding dengan akar umbi dan pemimpin yang akan membimbing parti ini akan menghadapi lebih banyak cabaran di hadapan,” kata Wan Azizah yang juga bekas timbalan perdana menteri.

Wan Azizah berkata pemilihan PKR terbukti memecah-belahkan parti.

“Pemilihan mencemarkan nama parti kita dan kempen menguji persahabatan kita. Tetapi akan ada yang menang dan kalah dalam setiap pilihan raya dan kita mesti mengekalkan kesopanan kita dan memelihara persahabatan kita.

“Pemilihan kini sudah berakhir dan inilah masanya untuk kita mendapatkan semula kekuatan kita,” tambahnya.

Wan Azizah, yang kini mempengerusikan jawatankuasa penasihat PKR, bercakap mengenai beberapa masalah yang berlarutan selepas pemilihan parti menyaksikan Rafizi Ramli mengalahkan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden.

Semasa pemilihan, Saifuddin, pembantu rapat presiden parti Anwar Ibrahim, memperjuangkan cadangan “khemah besar”.

Cadangan “khemah besar” itu dibuat selepas Pakatan Harapan (PH) kalah teruk dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor tahun ini dan bertujuan untuk menyatukan semua parti pembangkang sekali lagi untuk bertanding menentang Barisan Nasional.

Tetapi saingannya, Rafizi, menentang idea “khemah besar” dan berkempen agar mereka yang tidak memihak kepada idea itu dilantik menjadi jawatankuasa kepimpinan pusat (MPP) PKR.

Seperti parti lain, Anwar boleh melantik lebih ramai naib presiden dan ahli kepada MPP selepas pemilihan parti.

Tetapi sebelum Anwar membuat keputusan, Rafizi dalam satu kenyataan berkata parti itu tidak sepatutnya berbuat demikian.

Dan tidak seperti kongres PKR sebelum ini, jalan ke Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam dipenuhi dengan poster kempen untuk menyertai MPP walaupun parti itu selesai pemilihannya.

Semalam, bekas exco Melaka dan Adun Ginie Lim berkata “cai” Rafizi untuk calon MPP masa depan adalah tidak demokratik.

“Ini tidak adil kepada calon lain,” kata Lim dalam satu kenyataan.

PKR mengadakan kongres parti 2021 dan 2022 bersama-sama tahun ini selepas mesyuarat agung tahunan tahun lepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen