Cai MPP Rafizi bercanggah prinsip demokrasi, kata ketua cabang


Rafizi Ramli kelmarin menyenaraikan 25 calon pilihannya bagi merebut jawatan anggota MPP PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2022.

TINDAKAN Rafizi Ramli mempromosi senarai calon pilihannya untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menerima kritikan pemimpin cabang parti itu.

Ketua Cabang Alor Gajah Ginie Lim berkata tindakan sebegitu tidak selari dengan prinsip demokrasi, memaparkan perpecahan dalaman dan tidak adil bagi calon lain yang turut bertanding.

“Kempen bercorak ini bukan sahaja tidak kena pada tempat, malah melanggar prinsip demokrasi dan tidak berlaku adil pada calon dan perwakilan.

Walau tidak menamakan timbalan presiden PKR itu secara khusus, Lim merujuk kempen melalui senarai digelar “cai” yang mempromosi calon “menolak idea khemah besar”.

Ia rentetan dari tindakan Rafizi menyiarkan di pelantar media sosialnya senarai 25 calon pilihannya bagi merebut jawatan anggota MPP PKR.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, senarai itu terdiri daripada calon yang menolak konsep khemah besar yang dipelopori sesetengah pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR.

Khemah besar itu merujuk kepada gagasan yang diusahakan PKR bersama gabungan itu untuk membentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Lim dengan keras menolak kempen seperti itu yang akan menjadikan pemilihan PKR sebagai referendum kepada kempen khemah besar PH.

“Kempen ini akan mewujudkan perpecahan dalam parti dengan membuat andaian mereka yang tidak tersenarai adalah calon-calon yang menyokong idea khemah besar.

“Ini adalah tidak adil sama sekali bagi calon-calon yang berkempen di atas pengalaman, kelayakan dan kebolehan menyusun atur strategi dan gerakan akar umbi,” kata Lim.

Tambahnya, PKR perlu mengembalikan keyakinan rakyat umum terhadap parti dengan memilih anggota MPP yang berwibawa.

“Pemilihan parti merupakan proses demokrasi dalaman parti untuk memberi ruang kepada anggota parti memilih pemimpin berdasarkan pencapaian, kebolehan dan wawasan yang dapat menyumbang kepada kekuatan parti.

“Bukannya membuat referendum yang kontroversi,” tegas Lim dalam kenyataan menjelang kongres nasional PKR yang akan bermula esok hingga 17 Julai di Shah Alam.

Rafizi antara lain mempromosi bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir, calon ketua AMK Fahmi Zainol, Ketua PKR Sungai Petani Ooi Tze Min dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen.

Antara ahli Parlimen lain pilihannya S Kesavan (Sungai Siput), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Muhammad Baktiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Nurin Aina @ Nor Azrina Surip (Merbok).

Turut tersenarai June Low Hasid Hui (Hulu Selangor), Rusnah Aluai (Tangga Batu) dan seorang pelakon Hans Isaac.

Pemilihan MPP PKR akan berlangsung pada Kongres Nasional PKR pada Sabtu di IDCC Shah Alam bagi merebut 20 jawatan. – 14 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen