Pendirian Rafizi berhubung khemah besar pendapat peribadi, kata Wan Azizah


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Dr Wan Azizah Wan Ismail masih memegang jawatan pengerusi jawatankuasa penasihat kepimpinan PKR.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Julai, 2022.

PENOLAKAN timbalan presiden PKR yang baru dipilih Rafizi Ramli terhadap “khemah besar” pembangkang adalah pendapat peribadinya, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Rafizi ada pendapat sendiri. Tetapi saya fikir kita mesti melihat keadaannya. Jika mereka mahu jatuhkan khemah besar, maka tidak perlu,” kata pengasas dan bekas presiden parti itu di Shah Alam selepas berucap pada perasmian kongres tahunan Pemuda dan Wanita PKR hari ini. 

Dr Wan Azizah, yang tidak mahu mengulas lanjut, menjawab soalan wartawan mengenai penolakan terbuka Rafizi terhadap idea “khemah besar”.

Walaupun tidak dipilih, beliau masih pengerusi jawatankuasa penasihat kepimpinan parti.

Rafizi menewaskan setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti baru-baru ini. Beliau mengasaskan kempennya untuk menolak lebih banyak perkongsian dengan parti pembangkang lain pada pilihan raya umum akan datang, mengatakan PKR memerlukan naratif baharunya sendiri untuk meraih undi.

Menjelang Kongres PKR hujung minggu ini, Rafizi sekali lagi menyerang idea khemah besar itu, berkata pemimpin yang menyokongnya tidak sepatutnya dipilih menjadi jawatankuasa kepimpinan pusat parti.

Cadangan khemah besar itu sekali lagi diperkatakan selepas Pakatan Harapan kalah teruk kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor selepas undi pembangkang berpecah antara mereka dan Perikatan Nasional.

Berikutan kekalahan terakhir di Johor, presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Anwar Ibrahim telah bertemu Pengerusi Perikatan Muhyiddin Yassin.

Namun Anwar berkata pertemuan itu tidak melibatkan sebarang perbincangan mengenai kerjasama.

“Itu keputusan mereka, PH tak terlibat, pertemuan (dengan Muhyiddin) berlangsung untuk suatu ketika, saya tidak boleh nafikannya.

“Tetapi tiada persoalan dibangkitkan tentang keputusan membentuk gabungan menyokong beliau, ia tidak berbangkit,” kata Anwar.

Namun menurut pemerhati politik, perlu berkumpul semula untuk menafikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, penyokong mereka berpecah selepas Bersatu Muhyiddin berundur daripada Pakatan dan menyebabkan kerajaannya tumbang pada 2020. – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen