Muhyiddin ada jumpa tapi tak bangkit kerjasama, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata isu sama ada PH akan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad tidak berbangkit buat masa ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 April, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) tidak terlibat untuk mengadakan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata pengerusinya Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu bagaimanapun mengakui ada mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin namun tidak melibatkan isu tersebut.

“Itu keputusan mereka, PH tak terlibat, pertemuan (dengan Muhyiddin) berlangsung untuk suatu ketika, saya tidak boleh nafikannya.

“Tetapi tiada persoalan dibangkitkan tentang keputusan membentuk gabungan menyokong beliau, ia tidak berbangkit,” kata Anwar yang tidak menyebut tarikh pertemuan itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan bekas pengerusi DAP Lim Kit Siang di Subang Jaya malam tadi.

Anwar juga menegaskan isu sama ada PH akan bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga tidak berbangkit buat masa ini.

“Ia tidak berbangkit isu itu (kerjasama dengan Dr Mahathir),” katanya.

Dr Mahathir semalam mengesahkan Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berjumpa dengannya untuk mendapatkan sokongan bagi menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau bagaimanapun tidak akan menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri sekali lagi.

Beliau berkata demikian selepas anaknya Mukhriz yang juga presiden Pejuang mendedahkan usaha Muhyiddin untuk mengadakan kerjasama bagi menghadapi PRU15.

Mukhriz berkata, pertemuan itu berlaku dua minggu selepas Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya negeri Johor manakala Bersatu, Pejuang, PH dan juga PKR kalah teruk.

Kemenangan itu menimbulkan keghairahan di kalangan pemimpin BN untuk mendesak Parlimen dibubarkan segera bagi mengadakan pilihan raya umum. – 2 April, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen