POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 3 petang ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata Wan Azizah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” ditulis bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
“Ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam bukunya itu, mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Disember lepas.
Pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat siasatan awal berhubung beberapa dakwaan yang ditulis dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Tommy menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana dikatakan mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.
Sementara itu Dr Wan Azizah yang merupakan ahli Parlimen Pandan ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan berkata, beliau dikemukakan dengan empat soalan semasa berada di Bukit Aman.
“… soalan berkaitan dengan pendapat Tommy Thomas, saya menjawab dengan fakta sahaja dan tidak boleh kongsikan,” katanya.
Beliau dengan ditemani anaknya Nurul Izzah Anwar yang merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh bersama dengan peguamnya William Leong Jee Keen, dilihat meninggalkan Bukit Aman kira-kira sejam selepas memberi keterangan.
Turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil. – Bernama, 28 Januari, 2022.
Komen