PRESIDEN Rusia Vladimir Putin semalam menyalahkan perkhidmatan rahsia Ukraine atas letupan besar yang memusnahkan jambatan Crimea Rusia Sabtu lalu yang disifatkannya sebagai “tindakan pengganas”.
Menerusi video yang dikongsi oleh Kremlin, semasa pertemuan dengan ketua jawatankuasa penyiasatan Putin berkata dalang, pelaku dan penaja adalah perkhidmatan rahsia Ukraine.
“Tidak dinafikan ini adalah tindakan pengganas yang bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur awam Rusia yang kritikal,” tambahnya.
Seramai tiga orang maut akibat letupan letupan bom yang memusnahkan jalan raya dan jajaran rel menghubungkan Russia dan Semenanjung Crimea Sabtu lalu.
Ukraine tidak mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.
“Ia tindakan pengganas yang disediakan oleh perkhidmatan rahsia Ukraine,” kata ketua jawatankuasa siasatan Alexander Bastrykin semasa pertemuan dengan Putin.
“Matlamatnya adalah untuk memusnahkan infrastruktur awam besar yang sangat penting untuk Rusia.”
Trak itu melalui Bulgaria, Georgia, Armenia, wilayah Rusia di Ossetia Utara kemudian Krasnodar sebelum tiba di jambatan itu, tambah Bastrykin.
“Individu yang mengambil bahagian dalam mengatur pergerakan trak itu telah dikenal pasti oleh penyiasat Rusia, katanya.
Jambatan itu penting dari segi logistik untuk Moscow sebagai rangkaian pengangkutan penting untuk memindahkan peralatan ketenteraan ke askar Rusia yang bertempur di Ukraine.
Ia sangat simbolik. Putin secara peribadi merasmikan struktur itu pada 2018, selain memandu trak melintasinya dan Moscow mengekalkan jajaran itu selamat biarpun berlaku pertempuran. – AFP, 10 Oktober, 2022.
Komen