Rusia tamat latihan tentera di Crimea


Kementerian Pertahanan Rusia hari ini mengesahkan penamatan latihan tentera di Crimea, berkata pasukan keselamatan Moscow sudah pulang ke penempatan tetap mereka. – Gambar EPA, 16 Februari, 2022.

RUSIA pada Rabu berkata latihan ketenteraan di Crimea yang dikawal Moscow telah berakhir dan askar kembali ke garison mereka, sehari selepas ia mengumumkan penarikan balik tentera dari sempadan Ukraine.

“Unit-unit Tentera Wilayah Selatan yang telah menamatkan latihan taktikal sedang berpindah ke penempatan tetap mereka,” kata Kementerian Pertahanan Moscow dalam satu kenyataan.

Televisyen negara menunjukkan imej unit tentera melintasi jambatan yang menghubungkan semenanjung yang dikuasai Rusia ke tanah besar.

Kenyataan itu berkata kereta kebal, kenderaan infantri dan artileri meninggalkan Crimea dengan kereta api.

Ia berlaku sehari selepas Moscow berkata ia menarik balik beberapa tentera yang ditempatkan di sempadan jirannya.

Namun pemimpin Barat masih bimbang yang Rusia boleh melancarkan serangan ke atas Ukraine, dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden memberi amaran pada Selasa serangan oleh Moscow kekal “kemungkinan besar” mampu terjadi.

Biden berkata Washington dan sekutunya masih belum mengesahkan penarikan balik mana-mana daripada puluhan ribu tentera yang dikatakan Moscow kini telah berkumpul di sepanjang sempadan Ukraine. – AFP, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen