Lebih 40% tentera Rusia dikerah ke sempadan Ukraine, kata AS


AS menganggarkan yang Rusia mengerahkan lebih 150,000 anggota tentera ke sempadan Ukraine dengan pergerakan besar-besaran dilihat sejak Rabu. – Gambar AFP, 19 Februari, 2022.

LEBIH daripada 40% tentera Rusia kini berada di sempadan Ukraine dan dalam posisi bersedia untuk menyerang ketika Moscow memulakan kempen propaganda, kata pegawai pertahanan AS pada Jumaat.

AS menganggarkan yang Rusia mengerahkan lebih 150,000 anggota tentera ke sempadan Ukraine dengan pergerakan besar-besaran dilihat sejak Rabu, kata pegawai yang tidak mahu dinamakan itu.

“Empat puluh hingga lima puluh peratus berada dalam posisi bersedia untuk menyerang. Mereka sudah berada dalam taktikal pusat himpunan sejak 48 jam lepas,” katanya kepada wartawan.

Taktikal pusat himpunan adalah kawasan berhampiran sempadan di mana ketumbukan tentera diletakkan bagi persediaan serangan.

Pegawai berkata Moscow menggerakkan 125 kumpulan taktikal tentera berhampiran sempadan Ukraine berbanding 60 pada situasi aman dan 80 unit sejak Februari lalu.

Pertambahan konflik antara pemisah pro Rusia dan tentera kerajaan Ukraine di wilayah Donbass dan kempen perang saraf di Rusia dan Donbas menunjukkan yang “kempen nyah kestabilan sudah bermula”, kata pegawai lagi.

Washington sejak beberapa minggu lalu memberi amaran yang Rusia akan mencipta kejadian tidak wujud di kawasan tertentu sebagai alasan untuk menceroboh Ukraine.

Moscow menafikan ia merancang untuk menyerang negara jiran itu, tetapi menuntut jaminan yang Ukraine tidak akan diterima menyertai Nato dan mendesak Nato supaya mengeluarkan tenteranya dari negara Eropah Timur itu, kesemua tuntutan itu ditolak Barat.

Pada 2014, Rusia menceroboh dan menjajah Crimea di Ukraine menggunakan sokongan puak pemisah. – AFP, 19 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen