4 tentera pemisah terbunuh di timur Ukraine


Seorang anggota keselamatan Ukraine bersedia ketika ketegangan kian memuncak antara kumpulan pemisah dan Ukraine. Kejadian terbaharu dilaporkan berlaku selepas pemimpin Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden bertemu buat kali pertama di Geneva minggu lalu. – Gambar AFP, 22 Jun, 2021.

PEMISAH disokong Rusia mendakwa tentera Ukraine telah membunuh empat orang dan mencederakan lima tentera mereka akibat tembakan di timur negara itu yang dilanda perang.

Kejadian terbaharu dilaporkan berlaku selepas pemimpin Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden bertemu buat kali pertama di Geneva minggu lalu.

Konflik selama bertahun-tahun di timur Ukraine - termasuk peningkatan ketegangan sejak awal 2021 - ada dalam agenda pertemuan itu, namun tidak ada perjanjian diumumkan.

Pegawai di Republik Rakyat Donetsk yang mengiytiharkan kemerdekaan sendiri itu berkata pada Isnin, tiga tentera mereka terbunuh dan seorang cedera dalam tembakan mortar di perkampungan Lozove dekat ibu kota Donetsk.

Pejabat berita pemisah, agensi berita DAN, mengatakan satu lagi tentera terbunuh dan empat lagi cedera beberapa jam kemudian, ketika sebuah ambulans dilanggar ketika membawa keluar mereka cedera.

Dalam satu kenyataan, pegawai tertinggi Donetsk, Denys Pushilin berkata, pihak pemisah akan mengambil “tindakan balas” berikutan kejadian itu.

Kiev telah memerangi pemisah yang disokong oleh Rusia di wilayah Donetsk dan Lugansk timur sejak 2014, setelah campur tangan Moscow di Crimea.

Perang itu telah meragut lebih dari 13,000 nyawa.

Setelah gencatan tahun lalu, pertempuran meningkat pada awal 2021 dan pada April Rusia mengumpulkan 100,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine dan di Crimea, mendorong amaran dari Nato.

Walaupun Rusia kemudian mengumumkan penarikan balik, Washington dan Kiev berkata penarikan diri itu sangat terhad.

Kiev dan sekutu Baratnya menuduh Rusia menghantar tentera dan senjata untuk menyokong pemisah, yang telah dinafikan Moscow. – AFP, 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen