Russia tembak jatuh dron di ibu pejabat armada


Ini adalah serangan dron kedua terhadap ibu pejabat armada laut Russia dalam tempoh kurang sebulan. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2022.

SEBUAH dron ditembak jatuh berdekatan ibu pejabat armada laut Russia di Crimea, kata pegawai tempatan, hari ini.

“Dron itu ditembak jatuh tepat di atas ibu pejabat armada”, tulis Gabenor Sevastopol, Mikhail Razvojaev di Telegram sambil mendakwa ia dilakukan tentera Ukraine.

“Ia jatuh ke atas bumbung dan terbakar,” katanya sambil menambah tiada kerosakan besar atau kemalangan jiwa berlaku.

Ini adalah serangan kedua terhadap ibu pejabat armada negara itu dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 31 Julai serangan dron di halaman ibu pejabat mencederakan lima orang dan membawa kepada pembatalan sambutan Hari Armada.

Malah, ia juga menandakan serangan terbaharu menyasarkan infrastruktur ketenteraan Russia di Crimea, semenanjung Laut Hitam yang dirampas Moscow dari Ukraine pada 2014.

Sistem pertahanan udara diaktifkan di Evpatoria di barat Crimea, hari ini.

Khamis lalu, tentera Russia menembak jatuh dron berhampiran pangkalan udara di Sevastopol.

Pada Selasa, letupan menggegarkan pangkalan tentera dan depot peluru di Crimea.

Awal Ogos lalu, satu letupan di pangkalan udara Saki mengorbankan seorang individu dan mencederakan beberapa yang lain. – AFP, 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen