PENGERUSI Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat mengutuk “perubahan kerajaan yang tidak mengikut perlembagaan” di Burkina Faso selepas pegawai tentera menggulingkan ketua junta Paul-Henri Sandaogo Damiba.
“Pengerusi menyeru tentera untuk segera dan sepenuhnya mengawal diri daripada sebarang tindakan keganasan atau ancaman kepada penduduk awam, kebebasan sivil, hak asasi manusia,” kata Kesatuan Afrika dalam satu kenyataan sambil menyeru pemulihan pemerintahan berperlembagaan menjelang Julai 2024.
Pemecatan Leftenan Kolonel Damiba, yang memerintah sejak rampasan kuasa Januari lalu, diumumkan lewat Jumaat dalam satu kenyataan dibacakan di saluran televisyen tempatan.
Pegawai yang tidak berpuas hati juga mengumumkan penutupan sempadan mulai tengah malam, serta penggantungan perlembagaan dan pembubaran kerajaan.
Faki berkata beliau amat bimbang tentang kebangkitan semula penggulingan tidak mengikut perlembagaan di negara Afrika Barat dan tempat lain di benua itu.
Rampasan kuasa itu adalah pergolakan terbaharu yang melanda Burkina Faso, sebuah negara yang berdepan ketidakstabilan teruk sejak memperoleh kemerdekaan daripada Perancis pada 1960.
Kesatuan Afrika menggantung negara itu pada 31 Januari “sehingga pemulihan pemerintahan berperlembagaan”.
Afrika berdepan rampasan kuasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP, 1 Oktober, 2022.
Komen