KETUA junta Burkina Faso Leftenan-Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, yang membuat rampasan kuasa pada Januari, telah memecat menteri pertahanannya dan mengambil alih peranan itu sendiri, menurut dekri yang diterbitkan pada Isnin di negara bergolak itu.
Dekri pertama, yang dibacakan di televisyen nasional, memecat Jeneral Barthelemy Simpore sebagai menteri pertahanan, manakala yang kedua mengatakan “presiden telah mengambil alih tugas menteri pertahanan negara dan veteran”.
Di sampingnya, Kolonel Mejar Silas Keita dinamakan sebagai menteri delegasi yang menjaga pertahanan negara dan dinaikkan pangkat menjadi brigedier jeneral.
Keita satu-satunya menteri baharu yang diperkenalkan dalam rombakan kecil itu, yang menyusuli siri serangan jihad maut bulan ini di negara Afrika Barat itu.
Dua askar maut dan sedozen “pengganas” terbunuh pada Isnin semasa serangan terhadap detasmen tentera di utara Burkina Faso yang dilanda serangan jihad, kata tentera.
Negara itu berada dalam cengkaman pemberontakan kira-kira selama tujuh tahun yang telah meragut lebih 2,000 nyawa selain memaksa kira-kira 1.4 juta orang meninggalkan rumah mereka. – AFP, 13 September, 2022.
Komen