KERAJAAN Burkina Faso menafikan bahawa tentera telah merampas kuasa ke atas negara itu hari ini selepas berlaku kejadian berbalas tembakan di beberapa berek tentera, termasuk dua di ibu negara.
“Maklumat di media sosial akan membuatkan orang ramai percaya ada pengambilalihan tentera,” kata jurucakap kerajaan Alkassoum Maiga dalam satu kenyataan.
“Kerajaan, menafikan maklumat ini dan menyeru penduduk supaya bertenang,” katanya sambil menambah terdapat kejadian berbalas tembakan di beberapa berek.
Tembakan berlaku sehari selepas pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan ketika demonstrasi tanpa kebenaran terhadap kegagalan pihak berkuasa membendung keganasan jihad yang melanda negara Afrika Barat itu.
Ia juga berikutan penahanan awal bulan ini terhadap ramai askar atas komplot yang disyaki untuk “mengganggu kestabilan institusi” di negara itu yang mempunyai sejarah panjang rampasan kuasa.
“Sejak 1 pagi, tembakan kedengaran di sini (Gounghin) datang dari kem Sangoule Lamizana,” kata seorang askar di daerah itu, pinggir barat Ouagadougou hari ini.
Penduduk di sana juga bercakap tentang “kebakaran yang semakin marak”.
Menurut sumber tentera, tembakan juga kedengaran di kem tentera lain, Baby Sy, di selatan ibu negara, dan di pangkalan udara berhampiran lapangan terbang.
Sementara itu, penduduk di bandar utara Kaya dan Ouahigouya memaklumkan turut mendengar tembakan di sebuah berek di kawasan itu. – AFP, 23 Januari, 2022.
Komen