41 maut dalam serangan militan di Burkina Faso


Antara yang terkorban membabitkan anggota pasukan pertahanan yang dikenali sebagai Sukarelawan Pertahanan Tanah Air (VDP), yang ditubuhkan untuk menyokong tentera. – Gambar EPA, 26 Disember 2021.

KERAJAAN Burkina Faso mengisytiharkan dua hari berkabung bermula pada hari ini selepas 41 orang maut dalam serangan yang disyaki pejuang jihad di wilayah bergolak utara negara itu.

“Misi pencarian di kawasan serang hendap kumpulan pengganas bersenjata… menjumpai 41 mayat. Presiden memerintahkan perkabungan nasional selama 48 jam,” demikian menurut satu kenyataan kerajaan yang dikeluarkan pada petang semalam.

Menurut kerajaan negara itu, mereka yang terkorban membabitkan anggota pasukan pertahanan yang dikenali sebagai Sukarelawan Pertahanan Tanah Air (VDP), yang ditubuhkan untuk menyokong tentera.

Sukarelawan itu menerima latihan selama 14 hari dan kemudian dihantar untuk rondaan dan misi pengawasan, dan mereka dilengkapi senjata ringan.

Menurut kenyataan itu lagi, antara mangsa serangan Khamis lalu ialah Ladji Yoro, yang dianggap sebagai ketua VDP di Burkina Faso.

“Pengecaman mangsa masih dijalankan,” menurut kenyataan kerajaan itu.

Menurut media tempatan, serangan hendap itu menyasarkan konvoi peniaga yang diiringi VDP berhampiran Ouahigouya, sebuah bandar tidak jauh dari sempadan Mali.

Serangan itu adalah yang terbesar sejak pertengahan November apabila 57 orang termasuk 53 anggota tentera terbunuh.

Seperti jirannya Mali dan Niger, Burkina Faso telah terperangkap dalam lingkaran keganasan sejak 2015, dikaitkan dengan kumpulan jihad bersenjata yang bergabung dengan Al-Qaeda dan kumpulan militan Isis.

Pertempuran itu menyebabkan sekurang-kurangnya 2,000 orang maut dan 1.4 juta kehilangan tempat tinggal. – AFP, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen