PBB gesa pemerintahan awam dikembalikan di Burkina Faso, Guinea, Mali


Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa junta tentera di Burkina Faso, Guinea dan Mali menyerahkan semula kuasa kepada orang awam secepat mungkin. – Gambar EPA, 2 Mei, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad menyeru junta tentera di Burkina Faso, Guinea dan Mali menyerahkan semula kuasa kepada orang awam secepat mungkin.

Bercakap selepas bertemu dengan Presiden Senegal Macky Sall di Dakar, beliau berkata mereka telah bersetuju mengenai keperluan untuk terus berbincang dengan pihak berkuasa de facto di ketiga-tiga negara bagi mengembalikan “perintah perlembagaan”.

Ketiga-tiga negara yang bergelut dengan pemberontakan jihad di rantau Sahel, baru-baru ini mengalami rampasan kuasa tentera: Mali pada Ogos 2020 dan Mei 2021; Guinea pada September 2021; dan Burkina Faso pada Januari 2022.

Sall ialah pengerusi semasa blok Afrika Barat Ecowas, yang telah menggantung ketiga-tiga negara tersebut daripada keahliannya.

Ecowas mengenakan sekatan berat terhadap Mali pada Januari selepas rejim di sana menolak pemerintahan awam dikembalikan.

Ia telah mengancam sekatan yang sama terhadap Guinea dan Burkina Faso jika mereka gagal mengembalikan pemerintahan awam dalam jangka masa yang “munasabah”.

Bagaimanapun rejim tentera di kedua-dua negara menolak jadual waktu yang ditetapkan oleh Ecowas.

Isnin lepas, Ouagadougou berkata mereka tidak bercadang untuk memendekkan tempoh peralihan tiga tahun yang telah mereka umumkan.

Pada petang Sabtu, ketua junta Guinea Kolonel Mamady Doumbouya berkata beliau telah memilih tempoh peralihan selama 39 bulan kepada pemerintahan awam.

Keputusan itu dikecam pada Ahad oleh pemimpin pembangkang di Guinea, termasuk kedua-dua parti presiden yang dijatuhkan Alpha Conde dan kumpulan pembangkang yang menentangnya.

Rejim di Mali juga menentang tekanan Ecowas.

Pada 21 April ia mengumumkan pelancaran “proses” peralihan dua tahun sebelum pilihan raya diadakan. – AFP, 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen