Apa susahnya menetapkan tarikh pilihan raya?


Faisal Tehrani

KENYATAAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini masih terdapat kebarangkalian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini mengisyaratkan sistem demokrasi negara ini berada dalam keadaan tebusan di tangan sekumpulan elit.

Ismail dikatakan memberitahu sebuah portal media atas talian yang keputusan mengenai bila PRU itu akan diadakan kekal di tangan pucuk pimpinan Umno.

“Ya, tetapi semuanya terpulang kepada ‘top five’ (pimpinan tertinggi Umno),” katanya, seraya menafikan “tingkap” masa bagi PRU diadakan tahun ini sudah tertutup.

Sekali lagi saya nyatakan, siapakah yang memberi hak kepada lima orang ini untuk menentukan tarikh PRU bagi mandat yang sepatutnya luput pada 15 Julai, 2023?

Siapakah yang memilih mereka, untuk membuat keputusan tersebut?

Sebuah negara yang mempunyai sistem demokrasi yang tidak dementia, akan segera menyanggah kenyataan di atas. Bahkan, sebetulnya sudah tiba masa buat negara ini menetapkan tarikh PRU pada suatu masa tertentu.

Jika kita boleh menetapkan hari keputeraan rasmi seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong ialah pada Isnin pertama, Jun setiap tahun; maka tiada sebab tarikh PRU tidak boleh diikat pada satu masa terpilih.

Ini akan membolehkan kita rakyat bersedia.

Apakah manfaat kita menentukan tarikh rasmi PRU seperti tarikh hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong?

Makanya rakyat atau pengundi yang berada di luar negara boleh bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman atau kawasan mengundi masing-masing.

Ini akan membolehkan mereka menabung untuk pulang bagi menyertai pesta demokrasi dan menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara. Terdapat dalam kalangan pengundi yang berada di luar negara juga boleh bersiap lebih awal. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Kita harus menghormati pengundi dan rakyat, bukannya menyulitkan mereka dengan berteka-teki dan meramal bukan-bukan tarikh PRU. Itu adalah manfaat pertama dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, tarikh pengundian PRU yang ditetapkan akan membolehkan negara ini tidak menjadi satu tebusan mana-mana politisyen berkepentingan, beragenda dan mungkin ada kes di mahkamah. Ini adalah sekiranya kita betul-betul menghormati prinsip Rukun Negara iaitu kedaulatan undang-undang.

Kenyataan tarikh PRU15 akan ditentukan kumpulan pimpinan Umno yang mempunyai kes di mahkamah adalah kenyataan yang berbahaya untuk sistem demokrasi negara ini.

Itu adalah manfaat kedua dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Jika kita menetapkan tarikh PRU15 siap-siap ia juga akan memudahkan penjawat awam yang terlibat. Mereka di Suruhanjaya Pilihan Raya, guru sekolah (memandangkan tempat pengundian selalunya di kawasan sekolah), petugas kesihatan, pasukan beruniform dan pertahanan negara termasuk polis dan tentera boleh bersiap siaga dan tidak perlu menebak setiap lima atau empat tahun sekali seolah-olah ia adalah tarikh keramat jatuhnya 1 Syawal.

Hal ini juga demi menghindar tarikh yang mana mengganggu penjawat awam, memandangkan tarikh PRU ini boleh jatuh pada waktu cuti sekolah, atau ketika cuaca monsoon melanda.

Pihak Ismail Sabri mesti mengerti kami rakyat juga mempunyai urusan lain dalam hidup, seperti kenduri kahwin kendara tahlil dan lain-lain yang mana perlu diutamakan juga. Negara ini bukan bapa sesiapa yang punya. Seperti mana Najib Razak pernah membuat kegilaan sendiri menjadikan hari tengah minggu sebagai hari pengundian.

Itu adalah manfaat ketiga dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Yang Dipertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Malah pihak Agong juga boleh merancang percutian mereka ke London dan sebagainya agar mereka berada di dalam negara ketika keputusan PRU diumumkan.

Tarikh PRU yang diikat menunjukkan kematangan kita berdemokrasi di mana semua parti politik yang bertanding mempunyai peluang sama rata.

Kenyataan Ismail Sabri menunjukkan demokrasi kita amat senget lantaran beliau dan sekumpulan kepimpinan tertinggi parti berkuasa boleh membuat keputusan yang lebih memihak.

Demokrasi yang senget begini memang disukai parti memerintah tetapi tidak adil untuk parti pembangkang.

Mereka juga perlu berkempen, menempah bendera parti, mengatur propaganda sendiri dan membuat perancangan.

Pihak SPRM atau pencegahan rasuah juga boleh siap-siap melilau dulu memerhatikan politikus yang ingin menabur dan menyogok.

Itu adalah manfaat keempat dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Pengikatan atau penentuan tarikh PRU juga menyihat dan menyuburkan iklim ekonomi dan kewangan negara ini di mana bank, dan para pelabur atau peniaga boleh melakukan kira-kira tanpa sebarang kemusykilan.

Hari ini, masyarakat dagang termasuk pelabur luar seperti menjadi mereka yang dungu dan tertanya-tanya. Mereka kadang-kala sakit hati tidak boleh membuat keputusan penting kerana menunggukan pengumuman sakti Ismail Sabri dan kawan-kawan setianya itu.

Itu adalah manfaat kelima dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Daripada segi agama, saya percaya hukum menetapkan tarikh PRU itu adalah wajib kerana ia boleh menyenangkan semua orang termasuk tok peti, para ustaz, puak surau masjid dan kaum lebai kerana mereka akan ikut memeriahkan suasana membaca doa, memberi dalil dan menyebar fatwa.

Apa saja tindakan yang memudah dan menyukakan orang itu ada pahala tentunya.

Itu adalah manfaat keenam dalam menentukan tarikh rasmi PRU persis menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Akhir sekali, tarikh penetapan PRU yang khusus akan memberi kebaikan kepada pengundi di kawasan pedalaman dan luar bandar yang agak terpencil. Ia akan memudahkan urusan mereka yang mungkin perlu bergerak jauh untuk mengundi.

Keseragaman tarikh PRU juga akan dapat menyelaraskan pengiraan undi dan kelancaran proses sistem demokrasi yang antara lain akan melibatkan Sabah dan Sarawak.

Itu adalah manfaat ketujuh dalam menentukan tarikh rasmi PRU sepertinya menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Saya percaya ada banyak lagi manfaat untuk kita jika kita menetapkan satu tarikh khusus bagi PRU. Menetapkan tarikh PRU ini tidaklah sesusah mana. Kita memerlukan keazaman.

Jika kita boleh menetapkan tarikh hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mengapa kita tidak boleh berbuat demikian untuk hari kebesaran demokrasi?

Ini menunjukkan sistem demokrasi kita tidak dementia.

Sayugia diingatkan negara ini bukan bapa sesiapa yang punya dan tidak harus jadi tebusan di tangan lima orang kawan-kawan Ismail Sabri. – 13 September, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen