Menukar enjin atau kapal di Johor?


Faisal Tehrani

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ogos 2021 menzahirkan rasa kecewa kerana ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan gelisah berdepan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.

MENURUT Norshahril Saat dari ISEAS-Yusuf Ishak, sebuah badan pemikir Republik Singapura, ada kemungkinan peratus pengundi akan rendah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak sebagai satu bantahan terhadap permainan politik di negeri tersebut: “To be sure, many who consider this an unnecessary election during times of crisis may not turn up to vote at all.”

Akan tetapi siapakah pemain politik di negeri Johor? Harus diingatkan Johor adalah medan yang sama sekali berbeza dengan Sabah, Melaka dan Sarawak.

Pada Ogos 2021, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan media sebagai menzahirkan rasa kecewa kerana “ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan”.

Tentu saja, hantaran terbaru yang dikongsi di Facebook baginda bersempena permulaan Tahun 1443 Hijrah itu tidak menyebut langsung siapakah yang “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa”.

Sultan Ibrahim malah memesan “sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan”.

Dalam erti kata lain, baginda bertitah kepada pemain politik di Johor agar tidak “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa”.

Oleh sebab kerajaan di Johor waktu ini dalam genggaman Umno-Bersatu-PAS, maka seolah-olah ingatan itu diberikan kepada parti pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), PKR, Muda (dan pembangkang sebenar-benar di Johor iaitu Pejuang). Ini kerana merekalah parti luar kerajaan.

Namun, kurang enam bulan daripada ingatan tuanku Sultan Ibrahim itu, baginda berkenan baru-baru ini untuk menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) yang bakal memberi laluan kepada PRN Johor, diadakan.

Justeru terdapat tanda tanya, ingatan baginda pada Ogos 2021 itu sebetulnya merujuk kepada pemain politik di Johor yang mana? Siapa?

Jika ia ditujukan kepada Bersatu dan Umno, kedua-duanya adalah parti yang memerintah Johor, justeru mengapa kedua-duanya ingin “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa”?

Jika yang dimaksudkan adalah PH, kelihatannya PH berada dalam keadaan yang tidak begitu solid memandangkan ketewasan melampau gabungan parti DAP dan Amanah di Sabah, Melaka dan Sarawak.

Lebih baik PH menanti pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk bergasak dari bergocoh dalam PRN.

Jika dimaksudkan oleh baginda, yang mengganggu kerajaan itu adalah Pejuang, atau Muda; parti-parti tersebut belum cukup signifikan untuk dipersalahkan “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa”.

Akan tetapi jika kita ke Johor dan bertanyakan mengenai absurditi persoalan di atas, rata-rata orang Johor mengenal betul pemain politik yang lain di negeri itu.

PRU 2018 bukanlah terjadi dua kurun lepas yang mana boleh dipadamkan dengan mudah. Kempen dan bermacam analogi yang terjelma ketika itu masih segar di ingatan ramai. Sesuatu yang disebut pada bulan Ogos tahun lalu misalnya, masih boleh dirujuk kira-kira enam bulan kemudian.

Kebanyakan penganalisis menghujahkan tindakan PKR menggunakan logo sendiri di Johor dalam PRN kelak pasti akan mendatangkan masalah. Meskipun tidak meninggalkan PH, tetapi tindakan membiarkan DAP dan Amanah belayar sendiri sangatlah mementingkan diri.

Tindakan ini pasti mengelirukan pengundi yang sememangnya sudah cukup keliru dengan pelbagai insiden politik selepas Langkah Sheraton. Tidaklah susah membayangkan yang PKR boleh karam seperti mana di Melaka, manakala DAP dan Amanah akan menempa nasib di Melaka dan Sarawak.

Jika peratusan keluar mengundi adalah rendah, maka kita akan melihat Umno kembali berkuasa di Johor.

Gabungan Bersatu dan PAS pula tidak begitu menarik di Johor. Rata-rata orang Johor menganggap Perikatan Nasional sedang nazak. Prestasi buruk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di Gambir sukar dipertaruhkan mengakibatkan parti itu terpaksa menghelah yang presiden Bersatu itu sedang memberi perhatian kepada PRU15.

Dalam keadaan karam ini, dua Adun Bersatu keluar daripada parti itu dan mahu menyokong Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Barisan Nasional (BN).

Adakah mereka ini antara pemain politik yang “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa” pada Ogos 2021 yang lalu?

Jika rakyat Johor jernih fikiran, dan komited seperti yang mereka lakukan dalam PRU14, tidaklah mustahil pengundi Johor membuat satu kejutan; iaitu menolak semua pemain politik yang tidak ikhlas di negeri itu. Ini termasuk mereka yang bercakap bolak-balik.

Pengundi Johor boleh menolak Umno dan BN (kerana kapal dan enjin itu sangat korup), mereka juga boleh menolak PKR (yang angkuh ingin belayar sendirian), dan menolak pula DAP dan Amanah (yang kelihatan tidak sudah-sudah bodoh dan naif dipermainkan PKR).

Tidak mustahil semua parti politik sedia ada terkulai dalam keadaan dijulang. Pengundi Johor boleh secara setan menolak lanun yang zahir dan lanun yang tersembunyi, dengan membuat pilihan menggila iaitu memilih Pejuang, dan mungkin di kawasan tertentu, Muda.

Ingatan, Parti Pejuang Tanah Air Johor dijangkakan akan turut bertanding secara solo dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor kelak. Dr Saharuddin Mohd Salleh, sebagai wakil Pejuang sudah pun mengumumkan parti tersebut akan bertanding, meskipun bukan di semua 56 kerusi DUN.

Pejuang, akan meletakkan calon berdasarkan majoriti penduduk Melayu. Harus diingatkan ketika percekcokan Umno-Bersatu, bukan semua Melayu di Johor benar-benar terkait akan sauh kapal dan enjin rosak seperti Muhyiddin mahupun gabungan Najib-Zahid. Masih ada yang secara diam menumpang geladak bahtera baru dengan harapan dapat menjala di laut dalam.

Tidaklah mustahil pengundi Johor membuat tekad yang luar biasa. Kebanyakan pengundi Johor benar-benar ingin menukar kapal dan enjin kerana kelelahan dengan pemain politik yang punya agenda di negeri tersebut.

Pembangunan perlahan, juga campur tangan kuasawan yang mengganggu politik dan urusan niaga di situ bukanlah rahsia di hujung jari pengundi.

Orang Johor boleh membuat kejutan. Orang Johor boleh, dan mungkin sangat ingin mengajarkan mereka yang “mengganggu kerajaan dan berebut kuasa” di negeri itu.

Justeru, belum tentu kemungkinan peratus pengundi akan rendah dalam PRN Johor kelak. Belum tentu orang Johor akan membantah dengan tidak turun mengundi. Belum tentu ramalan penyelidik ISEAS-Yusuf Ishak, Dr Norshahril Saat: “to be sure, many who consider this an unnecessary election during times of crisis may not turn up to vote at all.”

Tambahan jika SPR betul-betul objektif dan berfungsi sebagai agensi kerajaan yang adil, dengan membuka pusat pengundian di Singapura.

Maka pengundi Johor yang tersadai di Singapura boleh menggelombang ganas seperti ketika PRU14 yang lalu. Habis kapal dan enjin korup dilanda, kapal dan enjin khianat mungkir janji juga boleh ditala. Bahkan kapal dan enjin sangak juga mungkin dihunjam.

Silap hari bulan, orang Johor boleh mempadankanmuka pemain politik di negeri tersebut dengan membuat pilihan kapal dan enjin yang benar-benar baharu.

Kita belum tahu. Johor masih lautan dalam yang sukar diduga. – 1 Februari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen