Ampun Tuhanku beribu ampun


Faisal Tehrani

AMPUN Tuhanku beribu ampun, kami selalu menyanjung manusia biasa sehingga mengatasi-Mu, padahal mereka itu tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami membiarkan mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya itu busuk seperti kami juga demikian cekatan dan penuh helah menodai alam ciptaan-Mu secara semberono.

Ampun Tuhanku beribu ampun, seandainya Engkau tidak mengampuni kami nescaya kami kekal dalam kebodohan dan korupsi yang berulang-ulangan lantaran kami rela dilenyek sehimpunan manusia yang tidak pun kudus bahkan kencing beraknya lebih busuk daripada kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun kerana pernah mentertawakan Orang Asli yang meratap menderita kerana hutan yang menjadi lingkungan mereka itu gondol dicukur, manakala kami kekal beriman dan menyembah manusia yang tidak pun kudus bahkan kencing beraknya lebih busuk daripada kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, sekarang mengertilah kami nestapanya Orang Asli tatkala bala menimpa bumbung rumah kami hasil pembalaan manusia yang tidak pun kudus bahkan kencing beraknya lebih busuk daripada kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami gagal mempercayai sains bahawa pembalakan yang diperkenan dan penarahan hutan mengakibatkan hakisan tanah tinggi bersifat melampau dengan bukit serta tebing sungai mudah mengalami tanah runtuh, sebaliknya kami mempercayai magis di telapak kaki manusia yang tidak pun kudus bahkan kencing beraknya lebih busuk daripada kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, 48 jam kami kedinginan ditimpa hujan lebat tatkala kami duduk di atas atap rumah seraya melihat segala bala turun lantaran pembalaan, kami berdoa di atas bumbung tatkala malam banjir itu sambil bernazar bahawa kami akan mengubah nasib kami sendiri; akan tetapi setelah 48 jam itu pun berlalu, kami kemudian dikunjungi disuguh wang seribu plus kek coklat dua cawan; kami pun tuptup lalai kembali dan kami terus-terusan menyembah manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, sejak beratus-ratus tahun lamanya kami membiarkan diri kami teraniaya, tertindas dan berjiwa hamba meskipun Rasulullah sudah pun datang untuk membebaskan kami dari kesyirikan mencium bacin dua ketul punggung manusia-manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami rajin bertahajud di malam hari tonggeng terbalik ratus rakaat sambil berpuasa siang, melapar dan mendahagakan diri tetapi kami tetap bacul beriman kepada mereka yang lapar lagi haus memijak kami padahal mereka itu kaki ronggeng yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami selalu berdoa antara dua khutbah di hari Jumaat agar kami terpelihara dari akidah yang terseleweng sambil mengharap kami terselamat dari kepercayaan yang sesat, tetapi rupa-rupanya Tuhanku, kami yang nampaknya lalai dan leka kerana kami memindahkan kekuasaan-Mu kepada kekuasaan manusia biasa yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, betapa bangangnya kami, kerana tidak berdoa untuk diri kami sendiri, tetapi kami mendoakan manusia biasa yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami membiarkan diri kami hina dina ketika bencana menimpa, yang mana kami konon-konon makan disuap daripada tangan yang mengatuk kepala kami sedangkan kami sedar manusia yang memasak untuk kami itu ala-ala suci, serta tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami cepat sekali terhibur dengan pesan jangan leka atau segala kenyataan yang dizahirkan kebimbangan sedangkan hiburan kami itu sepatutnya Engkau yang tidak pernah leka dan sentiasa bimbang akan nasib kami yang membiarkan diri dihinjak mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, bukan tidak pernah kami mendengar pantun serangkap bunyinya:

Masuk ke hutan mencari rotan,

Hendak dibeli peniaga Cina;

Tebang balak menanam durian,

Beri makan pelancong China.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami dengan sengaja tergamak tergeletak menjadi hamba sesama manusia, dan membiarkan diri kami melarat tersekat tidak dapat menemui potensi diri kami sebagai insan kamil, semata-mata kerana tidak memerdekakan diri dari penindasan ala Namrud dan ala Firaun; malah kami tergamak tergeletak menjadi hamba kepada mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, sungguh kami bodoh ya Tuhanku, ampuni kami beribu ampun lantaran menjadi mereka yang disebut dalam kitab suci al-Quran dalam ayat 176 dan 177 surah al’Aaraf, iaitu mereka yang korap dan termengah-mengah menjelir lidah menyembah mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Padahal ayat suci al-Quran itu terjemahannya berbunyi begini:

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri’.”

Ayat itu memanglah gamaknya jatuh di atas pundak kepala kami kerana kami tetap mendustakan dan tetap menzalimkan diri meskipun sudah kelihatan terang-terang kami ini bodoh dan membiarkan diri dikejami.

Ampun Tuhanku beribu-ribu ampun kerana tidak berfikir sepertinya mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami masih mengikuti ulama jahat seumpama Bal’am ibnu Ba’ura yang membawa kami kepada bala dan pembalaan, yakni bala yang turun dari langit dan masuk melanda rumah kami sehingga tembus rosak seisi kediaman, sedangkan bala itu kami tahu boleh ditolak dan boleh dilengserkan, malah jangan ditadahkan tangan mendoakannya; kerana betapa bala dan pembalaan itu adalah puncanya tidaklah lain dan tidak bukan mereka yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami bertaubat ya Tuhanku ampuni kami kerana 48 jam kami menggigil sejuk dibasahi lencun hujan yang tiada ingat ketika kami melutut ketakutan di atas bumbung rumah seraya merenung segala bala turun dibawa kepala air lantaran pembalaan, kami berdoa di atas atap rumah begitu menzahirkan kebimbangan di kala awal pagi yang gelap bukat sambil menyumpah seranah batang tubuh diri kami sendiri kerana gagal mengubah nasib; iaitu setelah 48 jam itu segera berlalu, kami dikunjungi disuguh wang seribu plus lauk-pauk masakan air tangan; kami pun leka lagi dan kami tak sudah-sudah membodoh diri menyungkur diri kepada manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami ini memang bodohkan, ya Tuhanku?

Kami memang bodoh kerana kami menjilat mereka yang menganiayai kami sendiri, padahal yang dijilat dengan penuh jilat-jilatan itu bukan manusia yang kudus, dan kami tahu setahu-tahu sepenuh tahu kencing berak mereka malah jauh lebih busuk dari kencing berak yang kami prettkan.

Ampun Tuhanku beribu ampun, ampuni kami kerana tidak nekad bertanya; kalau balak katakan balak, usah dinafi berdalik dolak.

Ampun Tuhanku beribu ampun, kami ini memang bodohkan, ya Tuhanku?

Jadi kalau kami ditimpa bala dan pembalaan bertalu-talu, berkali-kali, lebih dari sekali memang pun kami patut dihenyakkan Tuhanku? Sebab kami ini memang bodohkan, ya Tuhanku, kerana tak pernah berhenti-henti sepanjang peradaban ini mengengsot kepada manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Terimalah taubat dan doa kami ini, berilah perhatian kepada kami yang begitu lemah ini. Kami ini manusia yang syirik kerana beriman kepada manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga.

Oleh kesyirikan kami ini ya Tuhanku, janganlah engkau himpitkan kami di dalam kubur, sebaliknya ya Tuhan kami, Engkau himpit dan kecilkan kubur manusia yang tidak pun kudus dan kencing beraknya busuk seperti kami juga tetapi berpura-pura bukan main menyamar sebagai manusia kudus.

Amin Ilahi Amin, Ampun Tuhanku beribu ampun.

Sebab-musabab semua kejahilan dan kebodohan kami ini, ampun Tuhanku beribu ampun, sembah kami ini harap diampun. – 4 Januari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen