Siapa bilang gadis Melayu tak melawan?


Diyana Ibrahim

Sasterawan Faisal Tehrani cuba memasukkan elemen drama telenovela Melayu dalam karya terbarunya Fatah dan Farah supaya ia lebih dekat di hati pembaca terutama golongan muda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mac, 2021.

SASTERAWAN Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali Faisal Tehrani sebelum ini tidak pernah menganggap novel grafik sebagai sebagai karya sastera.

Namun tanggapan itu berubah selepas bekerjasama dengan Projek Dialog, sebuah badan bukan kerajaan NGO mahu beliau menghasilkan novel grafik yang mengangkat isu semasa.

“Sebelum ini saya pernah ikut membaca novel grafik yang monumental contoh seperti V For Vendetta, Blue Is The Warmest Colour, Habibie. Tapi saya ada sikit skeptikal terhadap genre ini saya fikir ia bukan sastera.

“Namun bila Projek Dialog datang bawa idea ini dan selepas itu saya mula pesan banyak buku novel grafik dan baca buku tersebut saya agak terkejut kerana di negeri luar mereka menggunakan buku itu sebagai wadah untuk melawan.

“Jadi sejak itu saya ubah tanggapan,” katanya yang menceritakan karya terbarunya Fatah dan Farah kepada The Malaysian Insight.

Karya Fatah dan Farah yang diterbitkan Projek Dialog merupakan kolaborasi antara Faisal dan Arif Rafhan Othman sebagai pelukis novel grafik itu.

Ia disiarkan sepanjang 60 episod di media Instagram, Twitter dan Facebook sejak Januari lalu.

Novel itu mengisahkan kembara adik-beradik kembar Fatah dan Farah yang terpisah namun harus mengenali satu sama lain untuk pembahagian harta setelah kematian ibu mereka.

Fatah dan Farah seterusnya mengembara di seluruh negara untuk mengenal identiti dan mendekati asal usul dan budaya masyarakat Malaysia.

Novel Fatah dan Farah mengisahkan kembara adik-beradik kembar yang terpisah namun harus mengenali satu sama lain untuk pembahagian harta setelah kematian ibu mereka. – Gambar Facebook, 21 Mac 2021.

Mengulas lanjut, Faisal berkata beliau juga cuba memasukkan elemen drama telenovela Melayu supaya ia lebih dekat di hati pembaca terutama golongan muda.

“Saya lontarkan idea untuk kita cuba tawan hati orang yang melihat dan menonton drama Melayu, drama petang-petang atau telenovela .

“Telenovela itu ada rencahnya kena ada romantis sikit, kena ada jenaka sikit dan ada isu semasa sebab sasaran kita pembaca muda itu yang buatkan saya lontarkan idea Farah dah Fatah,” katanya.

Beliau yakin bahawa mesej yang ingin diangkat itu sampai kepada pembaca berdasarkan maklum balas yang diterima.

Sebagai contoh, beliau pernah mendapat mesej dari pembaca yang berterima kasih kepadanya kerana tidak hanya mengangkat satu corak penampilan lelaki atau wanita dalam novel itu.

“Bila kita tampilkan wanita teman baik Farah di Sungai Petani, saya dan Arif tampilkan watak seorang perempuan yang saiznya lain sedikit.

“Ada (pembaca) mesej saya kata terima kasih kerana kita tidak angkat satu corak penampilan saja. Jadi ada yang rasa (dirinya) diwakili,” katanya.

Pensyarah di Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia itu menjelaskan, misi novel grafik Fatah dan Farah lebih besar bagi membuka ruang kepada dialog.

“Ada panel (cerita) yang saya letakkan mengenai Buddha Gupta (Batu Bersurat di Lembah Bujang) dan saya bawakan juga idea Syed Hussien Alatas.

“Ia isu yang berat. Biasanya dalam kuliah saya kandungannya berapa semester. Tapi saya sampaikan untuk satu atau dua panel untuk tunjuk manusia boleh berdialog.

“Sebenarnya untuk peringkat ini kita agak berjaya. Kita banyak terokai isu. Kita ada isu hijab, isu gender kemudian antara Islam progresif dan konservatif,” katanya.

Jelasnya ini dapat dilihat dalam watak Fatah dan Farah itu sendiri di mana Fatah walaupun dibesarkan di Amerika Syarikat namun ia tidak seperti dijangka terbuka dan progresif.

Beliau berkata begitu juga Farah biarpun seorang gadis Melayu bertudung namun agak lasak dan lantang.

Katanya, gambaran watak Farah itu membuatkan tanggapan orang ramai mengenai wanita bertudung jauh meleset.

“Moto dia ‘siapa bilang wanita Melayu tak melawan’ bukan menawan,” katanya.

Pelukis grafik novel Fatah dan Farah, Arif Rafhan Othman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mac, 2021.

Tambahnya antara cabaran besar dalam menghasilkan novel grafik Fatah dan Farah ialah mempertimbangkan kesesuaian dialog dengan gambar.

“Ia harus dihantar dengan hanya gambar dan mana cerita yang boleh berjalan tanpa dialog. Jadi mana pula dialog yang perlu datang untuk jelaskan cerita itu? Jadi saya fikir agak sukar,” katanya.

Artis yang bertanggungjawab memaparkan watak tersebut, Arif pula berdepan cabaran menghasilkan karya arus perdana tapi pada masa sama perlu lari daripada kebiasaan.

Atas faktor itu juga, beliau menerima untuk bekerjasama bersama Faisal menghasilkan novel grafik tersebut.

“Saya tak pernah buat cerita arus perdana kerana komik saya (novel grafik) lebih kepada underground,” katanya.

Jelasnya usaha untuk memaparkan cerita tersebut kepada pembaca umum dan menyesuaikan kepada semua lapisan masyarakat agak mencabar.

“Itu cabaran pada saya dan secara tidak langsung saya juga tak nak disamakan dengan dengan cerita yang klise. Saya nak buat benda yang lain dari lain.

“Dan Faisal pun banyak membantu kerana beliau juga bukan jenis suka klise jadi agak mudah ketengahkan cerita dan visual itu ada keunikan sendiri,” katanya.

Arif yang sudah tujuh tahun berkecimpung dalam industri novel grafik, beliau bagaimanapun tidak kekok kerana kedua-duanya memahami kehendak masing-masing.

“Tugas saya kesinambungan dengan Faisal sendiri. Beliau akan beri perincian bagaimana karekter Fatah dan Farah dan sambil bincang itu saya akan buat lakaran ringkas.

“Tapi setakat ini kerja dengan Faisal sangat mudah, prosesnya mudah. Kami faham kehendak sesama sendiri, nak lukis karakter pun tak lama dalam sehari dua, memang proses itu lancar.” – 21 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen