Pilihan kerdil vs pilihan raya


Faisal Tehrani

DENGAN peratus keluar mengundi rendah ketika Pilihan Kerdil Negeri Johor, Melaka dan Sarawak, terdapat satu pertanyaan masihkah pilihan kerdil satu “tanda” kepada sistem demokrasi di negara ini?

Jika hanya lebih sedikit persen sedia ada dari separuh rakyat atau pengundi yang masih berkobar ingin menentukan hala tuju hidup dan negara, manakala separuh yang lain tidak lagi percaya atau sudah cuak dan muak, masihkah pilihan raya itu “raya” atau sekadar pilihan kerdil?

Bagaimana jika yang menang itu sebenarnya kalah kerana sistem pilihan kerdil di negara ini agak pincang lantaran demokrasi hibrid, seperti terlihat di Johor baru-baru ini.

Ketika pelancaran buku “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia”, terbitan Penerbit Universiti Malaya, salah seorang pengarangnya yang pernah mengendalikan enam daripada 14 PRU dan PRN, Ab. Rashid Ab Rahman membabadkan kepada kita beberapa persoalan mengenai pilihan kerdil ini.

Menurut beliau, sepanjang menjawat posisi penting sebagai pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau semacam lega lantaran “keputusan pilihan raya” di negara ini diterima baik oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa iaitu sebanyak 14 kali pilihan raya.

Harus diingatkan, demokrasi sedia ada adalah demokrasi hibrid, iaitu demokrasi separuh. Bukan demokrasi penuh.

Sambil mengakui pilihan raya di negara ini mempunyai pelbagai kekurangan, khusus membabitkan sistem first past the post, Rashid berpendapat pengurusan pilihan raya di Malaysia dilakukan dengan cara yang terbaik.

Harus diperikan di sini, sistem warisan Inggeris ini membolehkan mana-mana calon dan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menang atau membentuk kerajaan.

Makanya, dalam kes Johor, meskipun lebih ramai pengundi menolak Barisan Nasional (BN) berbanding gabungan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan blok ketiga, “anehnya” BN yang menjadi kerajaan.

Rashid mengaku, siri peratusan keluar mengundi yang rendah “merisaukan” dan boleh menjejaskan kedudukan demokrasi. Pun, beliau sendiri menenangkan diri dengan menghujahkan yang peratus rendah itu mungkin kerana pendaftaran automatik pengundi 18 tahun.

Untuk mengatasi gejala peratus keluar mengundi yang rendah ini, beliau ingin menganjurkan agar pengundian dijadikan satu urusan wajib. Namun, beliau juga sendiri mengomel dan menolaknya lantaran mungkin sahaja menerima penentangan dan perdebatan panjang.

Yang paling munasabah menurut Rashid hendaklah negara itu bertanggungjawab mendidik dan mengasuh rakyatnya untuk ikut terlibat dalam sistem demokrasi, sebagai satu tindakan sayang dan kasihkan negara.

Rashid seterusnya, setelah menyatakan sistem pilihan raya negara ini masih bermasalah, menjejerkan pula beberapa lagi masalah yang menurut beliau perlu dibetulkan segera. Masalah tersebut kelihatan enteng dan tidak begitu penting, tetapi sebetulnya memberi kesan kepada raya atau kerdilnya pilihan rakyat.

Masalah itu ialah masalah alamat di mana begitu kronik dalam kalangan pengundi luar bandar. Pun, nampaknya belum ada tekad dan kesungguhan untuk menyelesaikan isu ini. Padahal terdapat banyak contoh dan rujukan terbaik dari luar negara yang boleh dijadikan pedoman.

Paling penting dan menarik ketika pelancaran buku tulisan bersama dengan Dr G Manimaran ini ialah perihal fenomena sogok pengundi yang lumat dan kesumat.

Kisahnya, Rashid membebelkan betapa ketika Pilihan Raya Negeri Johor – beliau menyebut terangan Paloh dan Pagoh – terdapatnya pemberian berupa barang dapur (beras, gula dan aneka macam) tetapi juga wang ringgit yang mengikut Rashid kini merupakan satu kemestian.

Bendera parti bukan lagi raja untuk mempengaruhi. Sebaliknya duitlah merupakan raja.

Entah kenapa Rashid hanya bercerita. Macam lampin pakai buang. Berlalu begitu saja. Padahal tokoh pembanteras rasuah negara iaitu Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ada di hadapannya.

Rashid boleh saja menerkam isu ini seraya mencarik-carikkannya dengan ganas dan bersemangat. Tetapi menyentuh sambil lalu, Rashid tidak menjela-jelakan topik penting ini.

Mungkin, kata saya mungkin saja, kerana ada beberapa tongkol ahli politik di hadapan pentas, yang saya tidak tahu entah kenapa dimuliakan di barisan hadapan berbanding ilmuan dan aktivis yang berbuat kerja.

Saya nampak ada Liew Chin Tong, Salahuddin Ayub, setiausaha Muda dan ahli Parlimen Lembah Pantai. Ada juga Wan Ahmad Fayhsal, antara empunya “benefit” pertukaran kerajaan PH kepada PN yang berlaku tanpa pilihan raya, sebaliknya dengan pilihan kerdil.

Sebelum majlis pelancaran, pak cik di sebelah saya, dua orang entah siapa, dengan begitu ghairah meneriak-neriakkan nama ahli Parlimen Pontian sebaik beliau lalu di sisi kerusi kami. Apabila Rashid menyebutkan perihal sogok ini, mereka kelihatan terangguk-angguk macam terpaling mengerti. Padahal mereka baru mengampukan Pontian.

Sebenarnya poin yang disentuh Rashid ini boleh menjadi satu poin paling mendalam dan merupakan masalah utama pilihan kerdil negara ini. Ia sangat membarah.

Bak kata Rashid, sogok pengundi ini (beliau tidak menggunakan istilah sogok, tapi saya yang menggunakan terma ini kerana ia memang mengenai rasuah), dihalusi dengan nama lain seperti wang ihsan, atau bantuan mesra rakyat yang sudah menjadi realiti SOP pilihan kerdil.

Mengomel demi mengomel Rashid turut membebel soal pengundi di Kuala Lumpur yang perlu berdepan dengan ahli majlis atau pentadbir di DBKL yang sebetulnya bukan dipilih rakyat, padahal masing-masing ikut terbangga menyebutkan Melaka dan Pulau Pinang pernah mengadakan pilihan raya majlis bandaran pada 1857.

Pilihan raya negara ini adalah pilihan kerdil. Ia kerdil kerana hanya segelintir orang turun memilih, seperti yang kita lihat di Johor.

Segelintir yang turun membuang undi ini pula, sebahagian besarnya menolak parti yang menang di Johor; tetapi lantaran sistem pilihan kerdil kita ialah first past the post maka orang kalah boleh mentadbir negeri memijak pengundi yang memilih blok atau gabungan lain.

Pengamal demokrasi berharap rakyat akan terus keluar mengundi, dan sistem demokrasi yang tegak dengan pilihan raya ini akan berjaya. Tetapi tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Malas sungguh saya malas untuk menurunkan angka mereka yang tidak turun mengundi. Saya percaya mereka malas mengundi bukan kerana takutkan Covid-19, atau tidak boleh mengambil cuti (mereka di swasta bekerja pada hari Sabtu, ya).

Sebetulnya ramai antara mereka (atau kita) sudah tidak lagi percaya kepada pilihan raya, kerana terlihat pilihan yang ada sangat kerdil.

Yang raya hanyalah wang ditabur, bantuan dan ihsan ringgit yang takut disebut Rashid sebagai “sogok” atau rasuah.

Jika pun kita memilih mereka, para YB ini kemudian akan buat perangai rakus bernafsu dan saling jatuh menjatuhkan macam babi berkubang dalam lumpur.

Jika kita ingin mengembalikan keyakinan awam terhadap pilihan raya, usaha membanteras habuan raya daripada calon hantu raya ini hendaklah dikekang dan digencat. Jika tidak rakyat akan kehilangan minat.

Kata mereka yang tidak turun mengundi, “Untuk apa mengundi jika parti yang menang tidak memerintah lantaran sistem lapuk”. Atau untuk apa turun mengundi, jikalau “ada pihak menabur duit besar-besaran untuk mengalahkan kehendak rakyat”.

Bahkan ada pertanyaan, “adakah ini kerja bermanfaat atau sia-sia jika ringgit pelabur projek Maharani atau Forest City sudah menetapkan”. – 22 Mac, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen