Khutbah Raya Melayu Afrika Selatan


Faisal Tehrani

Sambutan Aidilfitri tahun ini meriah selepas dua tahun disambut dengan pelbagai sekatan disebabkan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Mei, 2022.

HARI Raya ini saya ingin mengutip kembali gagasan yang pernah dilontarkan oleh pemimpin dan tokoh umat Islam di Afrika Selatan, Achmad Cassiem dalam khutbah Eidul Fitrinya pada tahun 1992 dengan judul ‘The Intellectual Roots of The Oppressed and Islam’s Triumph Over Apartheid’. Ini kerana mendengar khutbah Hari Raya di mimbar serasa kering sekali.

Di negara kita, Achmad Cassiem kurang dikenali, mungkin kerana hubungan dengan negara tersebut agak ke belakang. Barangkali juga kerana Nelson Mandela sebagai tokoh hak asasi manusia lebih tersohor, sehingga ramai aktivis anti aparteid yang lain tercicir daripada senarai. Padahal antara yang ikut melawan dasar jahat di Afrika Selatan sepanjang dekad 1960an-1980an itu terdapat juga tokoh Muslim.

Achmad Cassiem pernah dipenjarakan di Pulau Robben beberapa kali. Pertubuhan yang beliau pimpin iaitu Qibla diharamkan dan dilabel oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai militan sekitar tahun 2004. Pertubuhan ini menarik untuk dilihat sejarah pergerakannya memandangkan ia menggabungkan penganut Syiah dan Sunni di Afrika Selatan dalam usaha menentang dan menolak dasar aparteid.

Terlepas daripada kegiatan Achmad Cassiem yang didakwa radikal dan berbahaya, terdapat beberapa poin daripada minda beliau yang berkait alam Melayu menarik untuk dilihat kembali. Khususnya dalam khutbah Hari Raya beliau yang terkenal itu. Khutbah Eidul Fitri dengan tajuk ‘The Intellectual Roots of The Oppressed and Islam’s Triumph Over Apartheid’ tersebut menyelidiki kebudayaan Islam di Afrika.

Menurut Cassiem, terdapat tiga jenis jurus kebudayaan yang mewarnai Afrika Selatan. Pertamanya adalah kebudayaan peribumi seperti San Khoi-Khoi, Xhosa dan Zulu. Selain itu terdapat jurus kebudayaan pengaruh Barat-Kristian yang tiba bersama kaum pendatang, tuan tanah dan penjajah. Akan tetapi beliau juga mengingatkan jemaahnya yang terdapat pengaruh kebudayaan Islam yang mampir di Afrika Selatan antara lain menerusi jalur Melayu. 

Akan tetapi jalur Melayu ini kurang dilihat sebagai ‘Islam’ di Afrika Selatan dan pengkaji atau pengamal budaya lebih tertarik dengan aspek trivia seperti makanan, busanan dan kebudayaan luaran: “this third influence, when passing reference is made to it, is seen as Eastern or Malay but never as Islamic.”

Orang Melayu tiba di Afrika Selatan sebagai hamba. Menurut Cassiem, ketakutan penjajah di negara itu terhadap hamba Melayu ini sangat jelas dan mereka diwarnakan dengan empat pencirian iaitu Melayu dianggap kafir kerana bukan kristian, mereka adalah hamba justeru tiada haknya, mereka juga bukan hamba peribumi seperti orang Afrika justeru dianggap pelarian politik, dan mereka iaitu Melayu juga berkulit warna jadinya adalah bukan ‘dari Barat’. 

Achmad Cassiem ternyata kagum dengan semangat anti rasisme orang Melayu Afrika Selatan. – Gambar AFP, 2 Mei, 2022.

Cassiem ternyata kagum dengan semangat anti rasisme orang Melayu Afrika Selatan. Dalam konteks negara itu, orang Melayu beragama Islam pertamanya, menanggapi adalah satu tanggungjawab moral menolak dasar perkauman dan mendorong semua yang tertindas untuk menentang Apartheid. Kedua, mereka dilihat memberi bantuan kepada mangsa rasisme. Ketiga, mereka bekerja dan berkhidmat untuk menghancurkan dan menghapuskan dasar perkauman di Afrika Selatan.

Cassiem juga menyatakan yang orang Melayu Afrika Selatan mengajarkan kepada peribumi benua itu beberapa pelajaran penting. Pertamanya, menyalakan penentangan terhadap perkauman dengan menggunakan agama dan kepercayaan monoteisme. Kedua, berpandukan sikap Melayu di sana, dikatakan mereka menolak ‘kebangsaan’ ini kerana seseorang Muslim hanya perlu beriman kepada kebenaran.

Seterusnya yang ketiga, orang Melayu mengajarkan mereka di Afrika Selatan agar menolak kepalsuan. Dalam hal ini kepalsuan yang didepani mereka di sana adalah dakwaan mereka yang berkulit putih lebih superior dari yang lainnya. 

Keempat, orang Melayu yang membawa Islam ke Afrika Selatan juga memperkenalkan kemanusiaan dan dengan itu menolak dehumanisasi. Menurut Cassiem, kezaliman dan ketidakadilan bukanlah penyataan kebijaksanaan sebaliknya adalah keangkuhan dan racun:

“Callousness of this nature is definitely not a manifestation of intelligence, but of gross idiocy, arrogance and hardheartedness. There is no milk of human kindness in Apartheid; only venom.”

Cassiem juga menjejerkan betapa Muslim di Afrika Selatan yang mendapat tenaganya daripada orang Melayu itu meyakini kepada aksi sosial sebagai satu tanggungjawab kebersamaan sesama insan:

“This care and concern which Muslims have for one another and for suffering humanity in general is termed social responsibility in Islam. Our social responsibility stems from our social consciousness and evolves into a social conscience. But the most important fact about this development is that our social responsibility, which is universal, gives rise to social action.

“If we survey the rise and fall of cultures, we will be able to draw a distinction between a culture of liberation and for liberation, and a culture of domination and for domination. A culture of liberation and for liberation is also a shared culture and a culture of sharing. But a culture of domination and for domination is a culture of servility and for enslavement”.

Achmad Cassiem juga menjejerkan betapa Muslim di Afrika Selatan yang mendapat tenaganya daripada orang Melayu itu meyakini kepada aksi sosial sebagai satu tanggungjawab kebersamaan sesama insan. – Gambar AFP, 2 Mei, 2022.

Jika kita meneliti petikan di atas, kita mendapati Cassiem berusaha menghubungkan kefahaman terhadap aksi sosial tersebut dengan budaya pembebasan yang menggerakkan perlawanan anti aparteid.

Oleh sebab orang Islam merujuk kepada satu al-Quran, Cassiem juga mengingatkan kitab suci ini telah melahirkan tokoh-tokoh hebat dalam sejarah Islam dan sepatutnya membantu umat Islam di Afrika untuk menerbitkan juga tokoh besar:

“The same Quran that produced the giants in world history like Hazrat Ali (RA), Imam Husain (RA), and more recently, Sayed Qutb, Ali Shariati and Imam Khomeini (to name but a few), must produce our giants. Where then are the flowers of our ideological schools?”

Atas hujah-hujah di atas, Cassiem menyatakan Hari Raya bukanlah semata-mata kejayaan individu atas ketamakan, penting diri, dan kelekaan tetapi secara lebih besar adalah satu perayaan kejuaraan terhadap ketidakadilan, kebodohan dan kepalsuan.

Bukan itu sahaja Cassiem menyerukan gagasan orang Melayu di Afrika Selatan iaitu supaya agama Islam tidak ditunggang untuk tujuan politik: “We do not dress up politics in religious robes, neither do we dress up religion in political robes - we have Islam and that is all we need to have.”

Menurut Cassiem sebelum penutup khutbahnya yang fenomenal itu ialah, Hari Raya adalah satu perayaan, ikrar, dan seruan solidaritas untuk menghapuskan penindasan, eksploitasi, perkauman dan apa saja bentuk ketidakadilan dan menggantikannya dengan  keadilan sosial sejagat: 

“When the Eid celebrations are over in their outward manifestations, then those who have imbibed the inner manifestations must remember: We, as Muslims, have a tremendous responsibility to eradicate oppression, exploitation, racism and all forms of injustice, and replace it with a universal system of social justice. In South Africa we shall not be found wanting; in fact here we have an even greater responsibility and we shall, in a true spirit of universal brotherhood, respond to the call.”

Achmad Cassiem menyatakan Hari Raya bukanlah semata-mata kejayaan individu atas ketamakan, penting diri, dan kelekaan tetapi secara lebih besar adalah satu perayaan kejuaraan terhadap ketidakadilan, kebodohan dan kepalsuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Mei, 2022.

Tentulah sebagai orang Melayu yang berada di tanah yang pernah dan tidak jelak dipimpin oleh parti Umno, Bersatu dan PAS ini, kita akan sedikit tercengang dan kehairanan jika dibacakan khutbah dari Afrika Selatan yang demikian aneh. 

Kandungan khutbah Aidilfitri ini membawa pelbagai kemusykilan seperti mengapakah orang Melayu terbuang di Afrika dapat menolak semangat perkauman, ketidakadilan, kezaliman, semangat kebangsaan dan dehumanisasi?

Adakah Melayu di sana berbeza dengan di sini? Apakah yang membezakan kita?

Jawapannya mungkin juga ada di dalam khutbah tersebut. Menurut Cassiem, orang Melayu justeru Muslim di Afrika Selatan dilihat sebagai mereka yang mempunyai kejelasan idea mengenai Islam, bukan penakut (memandangkan sebahagian besarnya adalah banduan dan buangan dari pemerintah Belanda dan Inggeris) serta yang terakhirnya; berpengalaman melawan penjajah secara militan di alam Melayu.

Itulah yang nampaknya membezakan Melayu di benua Afrika, dan Melayu yang dari benua dan asalnya, di alam Melayu. – 2 Mei, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen