Sektor F&B kurang pekerja, kata pemilik perniagaan


Raevathi Supramaniam

Sektor makanan dan minuman berdepan kerugian besar selepas kekurangan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 September, 2022.

SEKTOR makanan dan minuman berdepan masalah susulan tidak dapat mencari tenaga kerja tempatan atau memohon buruh asing bagi mengisi kekurangan pekerja yang melanda industri, kata pemilik perniagaan.

Ini bermakna mereka mengalami kerugian besar kerana ketidakmampuan untuk memenuhi permintaan.

Ala Salih pemilik Sahara Tent, sebuah restoran Arab di Ampang berkata beliau terpaksa melakukan banyak kerja bagi menangani kekurangan pekerja.

“Bagi saya ia adalah konspirasi terhadap ekonomi Malaysia.

“Saya seorang pembayar cukai tetapi anda tidak mahu memberi saya tenaga kerja. Saya perlukan pelayan, pembantu dapur dan pemandu.

“Saya pemilik beberapa restoran, tetapi saya perlu memandu sendiri untuk menghantar makanan. Kami membayar gaji yang berpatutan, tetapi kami tidak boleh mendapatkan pekerja,” kata Salih kepada The Malaysian Insight.

Salih yang pernah memiliki tiga restoran Arab dan dua restoran Thai terpaksa menutup sebuah restorannya kerana tidak mempunyai pekerja yang mencukupi.

“Sejak 2018 saya berdepan kekurangan 30 pekerja. Saya mempunyai 300 kerusi dan saya mahu beroperasi selama 24 jam tetapi tak boleh.

“Sekarang saya sudah memohon 50 pekerja asing, ia mungkin tidak mencukupi tetapi lebih baik daripada tiada,” katanya.

Ala Salih pemilik Sahara Tent, sebuah restoran Arab di Ampang berkata beliau terpaksa melakukan banyak kerja bagi menangani kekurangan pekerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 September, 2022.

Salih berkata masalah lain yang dihadapinya ialah beberapa pekerjanya terpaksa pulang ke negara asal untuk selama-lamanya selepas bekerja di Malaysia selama lima tahun.

“Saya mempunyai lapan pekerja yang berada di sini selama lima tahun dan kini pihak berkuasa memberitahu saya tidak boleh memperbaharui visa mereka.

“Pekerja ini mempunyai pengalaman yang baik, berkelakuan baik dan tidak melanggar undang-undang - kini anda meminta saya menghantar mereka pulang tetapi anda tidak akan menggantikan mereka.

“Kami tidak dibenarkan mengekalkan orang yang terlatih dengan baik, yang memahami perniagaan dan pelanggan,” kata Salih.

Empat restoran Salih kerugian kira-kira RM200,000 sebulan akibat kekurangan buruh.

“Kami mempunyai kira-kira 28 pekerja untuk empat restoran berkenaan. Majoriti mereka berasal dari Bangladesh, beberapa dari Indonesia, beberapa dari Iraq, satu atau dua dari Pakistan dan seorang dari Nepal,” katanya. – 10 September, 2022.

Berita penuh di sini

 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen