Agensi makanan PBB sedia bantu Asean hadapi perubahan iklim


Asean satu daripada rantau yang kaya dengan sumber pertanian di dunia, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). – Gambar AFP, 28 Mei, 2022.

PERTUBUHAN Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bersedia menyokong negara-negara Asia Tenggara dengan bekerjasama ke arah Komuniti Asean yang berdaya tahan terhadap bencana, kata Timbalan Pengarah Pejabat Kecemasan dan Ketahanan Shukri Ahmed. 

Beliau berkata Asean, sebagai satu daripada rantau yang kaya dengan sumber pertanian di dunia, turut sesuai untuk memaparkan peri penting melakukan unjuran jangka panjang berkait dengan mata pencarian.

“Bencana alam mampu mencetuskan riak yang menjejaskan kualiti kehidupan, meragut pendapatan dan menjejaskan aspek jaminan keselamatan makanan.

“Mengambil kira aspek ramalan dan unjuran, mampu memastikan negara dapat melindungi kesejahteraan hidup dan menyelamatkan nyawa,” katanya menerusi kenyataan dalam laman sesawang Sekretariat Asean.

Shukri turut memuji Asean berhubung kemajuan ketara dalam membangunkan keupayaan pengurusan bencana serantau yang mendapat sokongan Kesatuan Eropah.

Asean sudah pun melancarkan kerangka kerja pelan unjuran dan ramalan berkait pengurusan bencana ke arah pendekatan yang lebih menyeluruh dan inovatif bagi menghadapi sebarang bencana, pada Khamis lalu, di Bali, Indonesia.

Kerangka kerja itu bertujuan memberi inspirasi kepada kerajaan dan rakan kongsinya di seluruh dunia bagi menjuarai visi kerjasama, perpaduan dan aspirasi bagi membentuk Komuniti Asean yang berdaya tahan berdepan bencana serta cabaran mendatang, menurut kenyataan itu. – Bernama, 28 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen