Singa bunuh lelaki masuk kandang di zoo Ghana


Lelaki itu diserang singa sehingga cedera parah sebelum meninggal dunia selepas melompat masuk ke dalam kandang di Zoo Accra, Ghana kata Suruhanjaya Perhutanan Ghana. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2022.

SEEKOR singa di zoo Ghana membunuh seorang lelaki yang masuk ke dalam kandangnya pada Ahad, kata pegawai hidupan liar dalam satu kenyataan.

Lelaki itu diserang singa selepas melompat ke atas pagar keselamatan zoo di ibu negara, Accra, kata Suruhanjaya Perhutanan, agensi kerajaan yang menjaga hidupan liar di Ghana.

“Penceroboh itu diserang dan dicederakan oleh salah seekor singa, di dalam kandang,” kata kenyataan itu, menambah dia telah mati akibat cedera parah.

Singa jantan, singa betina dan dua ekor anaknya masih selamat di dalam kandang mereka di Zoo Accra, tambahnya.

Jurucakap polis memberitahu AFP: “Kami sedang menyiasat kes itu bagi menentukan bagaimana lelaki itu masuk ke dalam kawasan larangan.”

Zoo Accra mula-mula ditubuhkan sebagai tempat menageri persendirian pada awal 1960-an oleh presiden pertama Ghana, Kwame Nkrumah. Zoo Accra dibuka kepada orang ramai selepas penggulingannya pada 1966. – AFP, 29 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen