Beruk di AS disuntik vaksin Covid-19 khusus untuk haiwan


Haiwan di Zoo San Diego diberikan vaksin selepas lapan gorila dijangkiti koronavirus, kemungkinan dijangkiti daripada penjaga zoo yang disahkan positif Covid-19. – Gambar EPA, 10 Mac, 2021.

SEMBILAN beruk besar di Zoo San Diego menerima vaksin Covid-19 khusus untuk haiwan, menjadikannya primat bukan manusia pertama disuntik vaksin itu, kata seorang pegawai zoo pada Selasa.

Vaksin, yang ditawarkan oleh syarikat farmaseutikal Amerika Zoetis, adalah vaksin protein spike yang diolah semula, bertujuan untuk digunakan dalam melindungi haiwan daripada SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, kata wakil kanan perhubungan awam di Zoo San Diego, Darla Davis kepada Agensi Berita Xinhua. 

Empat orang utan dan lima cimpanzi bonobo diberi vaksin itu bermula Januari hingga Februari.

“Setiap haiwan menerima dua dos, dalam tempoh sekitar tiga minggu. Haiwan yang telah menerima vaksin berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan kesan buruk,” kata Davis.

Vaksinasi tersebut dilakukan selepas lapan gorila di Taman Safari dijangkiti virus itu, kemungkinan dijangkiti daripada penjaga zoo yang disahkan positif Covid-19.

“Doktor haiwan San Diego Zoo Wildlife Alliance telah mengenal pasti beberapa beruk besar paling berisiko dan mudah divaksinasi, termasuk spesies cimpanzi bonobo dan orang utan,” tambah Davis.

Sekumpulan gorila di Taman Safari, yang dijangkiti Covid-19 pada Januari kini pulih sepenuhnya, namun tidak menerima vaksin kerana ia telahpun terdedah kepada virus SARS-CoV-2, dan  penyelidik taman haiwan itu menganggap sistem kekebalan tubuh mereka sendiri telah membina antibodi terhadap virus itu, kata Davis.

“Pihak zoo akan memberikan beberapa dos vaksin terakhir kepada primat, termasuk gorila, pada  Mac,” katanya. – Bernama, 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen