Gorila dirawat kerana Covid-19 di zoo AS


Sejumlah 13 daripada 20 gorila di Zoo Atlanta didapati positif Covid-19. – Gambar EPA, 12 September, 2021.

BEBERAPA gorila di Zoo Atlanta di negeri selatan Amerika Syarikat, Georgia diuji positif dengan virus Covid-19, menurut zoo itu.

Gorila itu diuji selepas penjaganya melihat mereka batuk dan mengalami gejala lain, katanya.

Ujian awal menunjukkan mereka positif dengan virus Sars-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 dan zoo itu dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan mereka menanti keputusan ujian pengesahan daripada makmal perkhidmatan haiwan kebangsaan di Ames, Iowa.

Gorila yang berdepan risiko membentuk komplikasi dirawat dengan antibodi monoklonal dan semua 20 gorila di zoo itu sudah diuji.

“Pasukan kami memantau rapi gorila yang dijangkiti dan kami berharap mereka akan pulih sepenuhnya. Mereka diberi rawatan sebaik mungkin,” kata Sam Rivera, pengarah kanan kesihatan binatang di Zoo Atlanta.

“Kami amat prihatin jangkitan ini berlaku, terutamanya mengambil kira protokol keselamatan kami ketika bekerja dengan spesis binatang yang terdedah ini dan sepanjang pandemik, kami bekerja keras.”

Zoo itu percaya gorila itu mendapat jangkitan daripada penjaganya yang tidak bergejala, sekalipun pekerja sudah dilengkapi vaksinasi penuh dan memakai peralatan perlindungan peribadi.

“Ketika manusia disahkan boleh menularkan virus kepada binatang seperti gorila, dan kes ini berlaku di zoo lain, ketika ini tiada data menunjukkan manusia boleh dijangkiti virus daripada binatang di zoo,” menurut zoo itu.

Dalam pada itu, katanya pengunjung tidak menjadi ancaman kerana jarak jauh antara mereka dengan binatang itu.

AKhbar Atlanta Journal-Constitution melaporkan 13 daripada gorila di zoo itu dijangkiti termasuk Ozzie, gorila lelaki paling tua berusia 60 tahun.

Rivera memberitahu akhbar itu, Ozzie hanya menunjukkan gejala ringan. – AFP, 12 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen