SEMBILAN beruk besar di Zoo San Diego menjadi mamalia pertama diberi suntikan vaksin Covid-19, kata jurucakap zoo di California, Amerika Syarikat (AS) itu semalam.
Haiwan berkenaan - empat orang utan dan lima bonobo - setiap satu disuntik dua dos vaksin yang dibangunkan khusus untuk haiwan oleh sebuah syarikat farmasi veterinar.
Kesemua haiwan ini menerima vaksin eksperimen yang pada asalnya dibangunkan untuk anjing dan kucing.
Vaksin berkenaan diberi selepas lapan gorila di zoo tersebut mendapat jangkitan virus Covid-19 pada Januari.
“Selepas lapan gorila jatuh sakit pada Januari, kakitangan Zoo San Diego menerima vaksin eksperimen untuk diberi kepada beruk besar,” kata syarikat farmasi Zoetis di Twitter.
Salah seekor orang utan yang disuntik vaksin, Karen, sebelum ini mencipta sejarah pada 1994 apabila menjalani pembedahan jantung terbuka, yang pertama di dunia.
Lapan gorila yang telah dijangkiti Covid-19 pada Januari bagaimanapun tidak disuntik vaksin kerana dianggap sudah kebal terhadap jangkitan.
Haiwan-haiwan berkenaan disyaki mendapat jangkitan melalui seorang kakitangan yang positif tetapi tidak menunjukkan gejala. – AFP, 6 Mac, 2021.
Komen