GHANA semalam melaporkan dua kes pertama virus Marburg yang kali pertama muncul di Afrika Barat, kata pihak berkuasa.
Sampel darah yang diambil dari dua pesakit di wilayah Ashanti awal bulan ini disahkan positif virus penyakit berjangkit yang boleh membawa maut seperti Ebola itu.
Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS) dalam kenyataan berkata sampel itu dihantar ke Institut Pasteur di Senegal yang mengesahkan diagnosis jangkitan.
“Ini kali pertama Ghana mengesahkan penyakit virus Marburg,” kata ketua GHS Patrick Kuma-Aboagye.
Tiada rawatan khusus atau vaksin untuk jangkitan virus Marburg setakat ini. Gejala jangkitan termasuk demam panas serta pendarahan dalaman dan luaran.
Seramai 98 orang yang dikenal pasti sebagai kontak kes kini dikuarantin, kata GHS, menambah setakat ini hanya dua kes dikesan di Ghana.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Guinea telah mengesahkan satu kes dalam wabak yang diisytiharkan berakhir pada September tahun lalu.
Kes Marburg di Afrika sebelum ini dilaporkan di Angola, Republik Demokratik Congo, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda.
Virus Marburg boleh merebak daripada haiwan yang dijangkiti, termasuk kelawar. – AFP, 18 Julai, 2022.
Komen