SEKURANG-KURANGNYA 17 orang terbunuh dan 59 cedera pada Khamis dalam satu letupan dahsyat di bandar barat Ghana selepas trak yang membawa bahan letupan bertembung dengan sebuah motosikal, kata kerajaan.
Letupan itu meninggalkan kawah besar dan mengakibatkan berpuluh-puluh bangunan menjadi timbunan kayu dan logam yang dilitupi habuk di Apiate, berhampiran bandar Bogoso kira-kira 300 kilometer barat ibu negara Afrika Barat yang kaya dengan mineral, Accra.
Rakaman menunjukkan penduduk tempatan bergegas ke arah kebakaran yang marak dan kepulan asap hitam yang menggunung untuk memeriksa kerosakan, manakala pekerja penyelamat mengharungi runtuhan untuk selamatkan mangsa yang terperangkap dalam kemusnahan.
“Seramai 17 orang malangnya telah disahkan meninggal dunia, dan 59 orang yang cedera telah diselamatkan,” kata Menteri Penerangan Kojo Oppong Nkrumah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menteri itu berkata petanda awal menunjukkan “kemalangan melibatkan trak mengangkut bahan letupan untuk syarikat perlombongan, motosikal dan kenderaan ketiga” yang berlaku berhampiran pengubah elektrik.
Daripada 59 orang yang cedera, 42 sedang menerima rawatan di hospital atau pusat kesihatan dan “ada yang dalam keadaan kritikal”, tambah Nkrumah.
Presiden Ghana Nana Akufo-Addo menyifatkan ia sebagai “insiden yang benar-benar menyedihkan, malang dan tragis”.
Kerajaan berkata mereka yang dalam keadaan kritikal akan dipindahkan ke hospital di Accra dan polis meminta kampung sekitar membuka sekolah dan gereja mereka untuk menampung sebarang kemalangan jiwa tambahan.
Sepasukan pakar letupan polis dan tentera telah dikerahkan untuk “mengelakkan letupan kedua” dan melaksanakan langkah keselamatan selepas letupan itu, kata kerajaan dalam satu kenyataan akhbar. – AFP, 21 Januari, 2022.
Komen