Tentera Israel serbu pejabat kumpulan hak asasi Palestin 


Tentera Israel menyerbu pejabat beberapa kumpulan hak asasi manusia Palestin di Tebing Barat.– Gambar EPA, 18 Ogos, 2022.

TENTERA Israel pada Khamis menyerbu pejabat beberapa kumpulan hak asasi manusia Palestin di Tebing Barat.

Mereka melabel kumpulan berkenaan sebagai “organisasi pengganas”.

Menurut mereka, tujuh institusi ditutup selain harta benda dirampas dalam serbuan itu.

Di pejabat kumpulan hak asasi manusia Al Haq di Ramallah, pintu hadapannya telah ditutup dan satu kenyataan Israel mengatakan ia akan tetap ditutup atas “sebab keselamatan”.

“Sebarang aktiviti di tempat ini menjejaskan keselamatan kawasan itu, pasukan keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan yang dilihat AFP.

Al Haq ialah satu daripada enam kumpulan Palestin yang dicop sebagai organisasi pengganas oleh Israel pada Oktober kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berhaluan kiri Barisan untuk Pembebasan Palestin (PFLP).

Israel tidak mendedahkan sebarang bukti secara terbuka mengenai dakwaan hubungan dengan PFLP, yang telah dilabelkan sebagai organisasi pengganas oleh banyak kerajaan Barat.

Bulan lalu, sembilan negara Eropah berkata mereka akan terus bekerjasama dengan enam kumpulan itu, selepas “tiada maklumat penting” diterima daripada Israel untuk mewajarkan keganasan mereka.

Kakitangan dari Al Haq bagaimanapun mengeluarkan kepingan logam yang menutup pintu pejabat mereka pada Khamis dan berikrar untuk terus bekerja, walaupun komputer dan peralatan lain dirampas.

Kanister gas pemedih mata bertaburan di luar pejabat Al-Haq yang digunakan tentera Israel, yang mana menurut mereka ia sebagai tindak balas kepada balingan batu dan molotov koktel ke arah mereka.

Bandar Tebing Barat secara nominalnya berada di bawah kawalan penuh Pihak Berkuasa Palestin namun pasukan keselamatan Israel kerap melakukan pencerobohan, yang sering dibalas dengan batu atau bom petrol.

Pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin Hussein al-Sheikh menyifatkan serbuan itu sebagai “percubaan untuk menutup suara kebenaran dan keadilan”. – AFP, 18 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen