Letupan maut di Uganda tindakan pengganas, kata presiden


Letupan yang mengorbankan seorang dan mencederakan lima yang lain di Kampala, Uganda berlaku kira-kira dua jam selepas bermulanya sekatan pergerakan waktu malam bagi membendung koronavirus di seluruh negara. – Gambar AFP, 24 Oktober, 2021.

PRESIDEN Uganda Yoweri Museveni pada Ahad berkata letupan di Kampala yang mengorbankan seorang dan mencederakan lima orang adalah “tindakan pengganas”, berjanji untuk buru mereka yang bertanggungjawab.

Polis berkata “letupan serius” berlaku sekitar pukul 9 malam waktu tempatan pada Sabtu di kedai daging babi panggang di Komamboga, pinggir bandar Kampala yang popular dengan pengunjung tepi jalan.

Museveni berkata beliau diberitahu tiga orang meninggalkan beg membeli-belah plastik di tempat kejadian sebelum meletup, membunuh seorang dan mencederakan lima yang lain.

“Nampaknya ini adalah tindakan pengganas. Kita akan tangkap pelakunya,” kata Museveni melalui ciapan di Twitternya pada Ahad.

Katanya penyiasat masih di lokasi bom dan lebih banyak perincian akan dikeluarkan kemudian, termasuk nasihat untuk orang ramai mengenai  cara “menangani kemungkinan pengganas ini”.

“Orang ramai tidak perlu takut, kita akan kalahkan jenayah ini seperti kita kalahkan semua jenayah lain yang dibuat oleh ‘babi’ yang tidak hormati nyawa,” kata Museveni.

Letupan berlaku kira-kira dua jam selepas bermulanya sekatan pergerakan waktu malam bagi membendung koronavirus di seluruh negara.

Pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian, yang dikawal ketika pasukan bom memeriksa tapak kejadian. – AFP, 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen