Lebih 18.5 juta kanak-kanak Nigeria tak bersekolah, kata Unicef


Lebih 11,000 sekolah di Nigeria masih tutup sejak Disember 2020 atas faktor keselamatan kerana menjadi sasaran pengganas, kata Unicef. – Gambar AFP, 13 Mei, 2022.

LEBIH 18.5 juta kanak-kanak di Nigeria tidak bersekolah, lebih separuhnya adalah perempuan, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef),

Jumlah tersebut naik mendadak berbanding 10.5 juta yang direkodkan negara paling ramai penduduk di Afrika itu pada tahun lepas, katanya.

“Seramai 18.5 juta kanak-kanak tidak bersekolah di Nigeria, 60% daripadanya adalah perempuan,” Ketua Pejabat Unicef di Kano, Rahama Farah, memberitahu pemberita pada Rabu.

Rahama berkata serangan pengganas ke atas sekolah-sekolah menyumbang kepada peningkatan kes keciciran pendidikan di negara itu.

Puluhan sekolah menjadi sasaran pengganas sejak kumpulan Boko Haram menculik lebih 200 murid perempuan di bandar Chibok pada 2014, katanya.

Menurut data Unicef, seramai 1,500 murid diculik lelaki bersenjata tahun lalu, dan 16 orang terbunuh.

Lebih 11,000 sekolah masih tutup sejak Disember 2020 atas faktor keselamatan, kata agensi itu bulan lepas. – AFP, 13 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen