Usah kontroversikan pembinaan kuil di Damansara Damai, kata Adun


Ravin Palanisamy

Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata tapak untuk membina rumah ibadat bukan Islam di Damansara Damai diperuntukkan pemaju 20 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2022.

CADANGAN pembinaan kuil Hindu di Damansara Damai, Selangor tidak harus menjadi isu kerana tapak untuk membina rumah ibadat itu diperuntukkan pemaju 20 tahun lalu, kata Adun Bukit Lanjan.

Menurut Elizabeth Wong, pemaju MK Land telah peruntukkan tiga lot tanah di Damansara Damai untuk rumah ibadat bukan Islam, termasuk satu bagi membina kuil Hindu.

“Semasa pemaju (MK Land) rancang untuk bangunkan kawasan ini, mereka mengemukakan pelan induk kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di mana mereka telah peruntukkan tiga lot tanah untuk rumah ibadat bukan Islam.

“Memang sudah ada dalam pelan asal Damansara Damai, yang dibuat lebih 20 tahun lalu, malah sebelum kerja-kerja mengorek tanah dimulakan,” kata Wong kepada The Malaysian Insight. 

Isu cadangan pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Melayu itu hangat baru-baru ini selepas penduduk menyuarakan bantahan.

Sekumpulan pemilik kediaman di Pangsapuri Impian juga menaikkan kain rentang bertulis “Perhatian!, Demi keselamatan dan keharmonian penduduk, kami membantah pembinaan kuil di Damansara Damai”.

Foto kain rentang itu turut dimuat naik di media sosial oleh pengendali akaun Facebook Surau Al-Hidayah, yang terletak dalam bangunan Impian Apartment, sebagai bantahan pembinaan kuil Hindu atas alasan majoriti penduduk di Damansara Damai adalah penganut Islam.

Penduduk juga berkata pembinaan kuil akan mengganggu keamanan dan keselamatan di situ.

Kain rentang itu bagaimanapun sudah diturunkan baru-baru ini atas arahan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Wong berkata penduduk tidak harus memperbesarkan isu ini kerana pemilik hartanah di kawasan terbabit sepatutnya tahu mengenai tanah di Lot 70260, Jalan PJU 10/1 telah diperuntukkan untuk rumah ibadat bukan Islam di situ.

Katanya, jawatankuasa kuil iaitu Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman 10 tahun lalu juga telah memohon kepada kerajaan negeri untuk membina kuil dan diberi kelulusan.

Cadangan pembinaan kuil tersebut tidak sepatutnya dikontroversikan kerana sebarang setiap masalah ada penyelesaiannya, tambah Wong. – 5 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen