Tokoh korporat Mustapha Kamal meninggal dunia


Pengasas syarikat MK Land Mustapha Kamal Abu Bakar meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi ini.– Gambar Facebook, 25 Julai, 2022.

TOKOH korporat ternama Mustapha Kamal Abu Bakar meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

Allahyarham Mustapha Kamal berusia 73 tahun.

Anak sulung Allahyarham, Felina berkata jenazah bapanya kini berada di kediaman mereka di Petaling Jaya bagi urusan pengebumian dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zohor, hari ini.

“Pada 10.15 pagi tadi jenazah ayah telah tiba di rumah dan jenazah akan diuruskan di rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semasa ditemui, beliau berkata bapanya dimasukkan ke IJN pada 23 Julai lepas kerana sakit dada.

Katanya semua anggota keluarganya berada di sisi Allahyarham semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak, Allahyarham Mustapha Kamal pernah mendapat jolokan sebagai ‘Raja Perumahan Mampu Milik’ kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di Selangor dan Perak.

Mustapha Kamal merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik. Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.  

Pada awal kerjayanya, siswazah Universiti Malaya dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi Mara,  antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan timbalan pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah. – Bernama, 25 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen