Saya akan pastikan sambutan Thaipusam diteruskan, kata Saravanan


Ravin Palanisamy

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan memberi jaminan sambutan dan perarakan Thaipusam tahun depan boleh diadakan dengan prosedur operasi standard yang ketat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

SAMBUTAN Thaipusam tahun depan akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan ketika rasa tidak senang terhadap larangan perarakan yang dikenakan terhadap penganut Hindu.

Bercakap pada sambutan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia, timbalan presiden MIC itu berkata beliau bersedia bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob esok untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, tidak masuk akal kenakan larangan pada perayaan itu selepas program dengan kehadiran ramai orang ini, termasuk Perlawanan Akhir Piala Malaysia yang berlangsung di ibu negara minggu lepas.

Saravanan merujuk kepada program Aspirasi Keluarga Malaysia hari ini yang dipenuhi ribuan orang di KLCC malah tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Ramai orang berkumpul di Pusat Konvensyen KLCC untuk meraikan pencapaian 100 hari kerajaan.

“Ini disambut secara besar-besaran dan diluar jangkaan. Tiada penjarakkan fizikal (diperhatikan di sini) sebab orang ramai telah memenuhi dewan dan mereka berdiri dekat-dekat.

“Saya akan adakan perbincangan dengan perdana menteri esok,” kata Saravanan.

“Jangan risau. Pasti ada penyelesaian untuk ini. Jika acara sebegini boleh, sudah pasti Thaipusam juga boleh, dan ini akan ikut SOP,” kata Saravanan.

– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

Pada Selasa, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata tidak akan ada perarakan Thaipusam dan Chingay tahun depan.

Bagaimanapun, berikutan reaksi orang ramai, kementerian berkata SOP Covid-19 untuk perayaan Hindu akan datang masih belum dimuktamadkan lagi.

Jawatankuasa kuil Hindu Batu Caves membidas Halimah kerana mengharamkan perarakan Thaipusam

Pengerusinya R. Nadarajah berkata, beliau tersentak mendengar keputusan mengejut diumumkan Halimah itu memandangkan tiada apa yang dimuktamadkan pada mesyuarat pada 2 Disember yang melibatkan ketua kuil dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor, bersama wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan kementerian kesihatan dan kementerian perpaduan.

Nadarajah berkata, perbincangan tersebut tidak mencapai kata putus mengenai perarakan jalanan yang biasanya diadakan pada malam Thaipusam dengan beribu-ribu penganut mengiringi pedati membawa berhala Dewa Muruga ke Batu Caves. Perjalanan bermula dari kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Bandar.

Tahun ini Putrajaya membenarkan perarakan pedati tetapi dengan SOP yang ketat kerana Covid-19.

Selain pegawai kuil, tiada sesiapa pun dibenarkan mengiringi pedati itu.

Thaipusam merupakan perayaan terbesar penganut Hindu selepas Deepavali.

Selain Batu Caves, perayaan ini disambut secara besar-besaran di Pulau Pinang. – 9 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen