Tiada perarakan untuk Thaipusam, Chingay, kata menteri


Chan Kok Leong

Kerajaan sudah menyediakan SOP Thaipusam selepas berunding dengan pihak berkepentingan pada 2 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

TIADA perarakan jalanan sempena Thaipusam pada 18 Januari tahun depan, kata Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique.

“SOP (prosedur operasi standard) akan diumumkan sebaik sahaja ia dimuktamadkan pada akhir bulan ini,” kata ahli Parlimen Kota Tinggi itu kepada Parlimen semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau berkata perkara sama juga untuk perarakan Chingay semasa Tahun Baru Cina (yang jatuh pada 1 Februari) tahun depan.

Halimah menjawab soalan V. Sivakumar (Batu Gajah-PH) yang bertanyakan mengenai SOP Thaipusam tahun depan.

Halimah berkata kerajaan sudah menyediakan SOP Thaipusam selepas berunding dengan pihak berkepentingan pada 2 Disember.

“Tetapi ini tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).”

Beliau berkata jawatankuasa teknikal pengurusan pandemik, yang diketuai oleh MKN, akan bermesyuarat pada 13 Disember manakala menteri berkaitan akan bermesyuarat pada 14 Disember.

“Jawatankuasa khas pengurusan pandemik yang dipengerusikan PM akan bermesyuarat pada 15 Disember untuk memuktamadkan SOP,” kata Halimah.

Secara tradisinya, penganut Hindu yang menyambut Thaipusam mengadakan perarakan jalanan semasa perayaan itu manakala Chingay ialah perarakan jalanan tahunan yang diadakan di Johor.

Chingay ialah perayaan meraikan hari kelahiran dewa Cina dan disambut di Johor dan Pulau Pinang.

Kerajaan melarang semua perarakan dan perarakan jalanan sejak tahun lepas memandangkan pandemik Covid-19. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen