Kumpulan Hindu persoal pengharaman perarakan Thaipusam


Noel Achariam

Dua kumpulan Hindu hari ini mengkritik Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique kerana mengharamkan perarakan pedati pada Thaipusan yang akan berlangsung Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

JAWATANKUASA kuil Hindu Batu Caves membidas Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique kerana mengharamkan perarakan Thaipusam sedangkan perlawanan bola sepak di stadium dengan puluhan ribu penonton dibenarkan. 

Pengerusinya R. Nadarajah berkata, beliau tersentak mendengar keputusan mengejut diumumkan di Parlimen hari ini mengenai perayaan pada Januari nanti.

Beliau berkata, pada 2 Disember lalu, mesyuarat perarakan itu diadakan dengan ketua kuil dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor bersama wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perpaduan Negara.

Nadarajah berkata, perbincangan tersebut tidak mencapai kata putus mengenai perarakan jalanan yang biasanya diadakan pada malam Thaipusam dengan beribu-ribu penganut mengiringi pedati membawa berhala Dewa Muruga ke Batu Caves.

Perjalanan bermula dari kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Bandar. Tahun ini Putrajaya membenarkan perarakan pedati tetapi dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kerana Covid-19.

Perarakan tahunan akan berlangsung dari kuil Sri Mahariaman di Kuala Lumpur ke kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves pada malam Thaipusam.

Thaipusam, yang dikhaskan kepada Dewa Murugan, adalah perayaan terbesar bagi penganut Hindu selepas Deepavali.

Selain pegawai kuil tidak ada orang lain yang dibenarkan untuk mengiringi pedati itu.

Selain Batu Caves, perayaan ini juga disambut secara besar-besaran di Pulau Pinang.

Nadarajah berkata mesyuarat itu diberitahu perkara tersebut akan dibawa ke MKN untuk diputuskan.

“Sekarang kami terkejut apabila mendapati Halimah telah melarang perarakan itu. Kenapa kerajaan perlu hentikan aktiviti agama. Orang Hindu sangat tidak berpuas hati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menegaskan dengan memberi contoh perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kuala Lumpur FC dan Johor Darul Takzim yang dihadiri berpuluh-puluh ribu penonton.

“Ini mereka boleh benarkan. Bagi penganut Hindu ini adalah perayaan agama yang paling penting,” katanya menambah dirinya bingung dengan logik pengharaman perarakan sedangkan penonton bola sepak yang ramai di stadium dibenarkan.

Awal hari ini, Halimah berkata di Parlimen tidak akan ada perarakan semasa Thaipusam dan Chingay.

Beliau berkata SOP akan diumumkan sebaik sahaja ia dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

Halimah turut berkata tidak akan ada perarakan Chingay semasa Tahun Baharu Cina, yang jatuh pada Februari.

Nadarajah berkata, dalam mesyuarat itu, mereka telah membangkitkan isu pematuhan SOP bagi membolehkan perarakan itu diadakan.

Beliau juga berkata mereka yang membawa paal kudam (bekas susu) dan mereka yang bernazar harus dibenarkan mengikuti perarakan.

“Kami akan jaga penjarakkan sosial, akan pastikan semua orang pakai pelitup muka dan kami akan minta mereka yang ingin sertai perarakan mendaftar.

“Perarakan hanya akan berhenti di tempat-tempat tertentu. Kami juga akan nasihati mereka yang tidak ada kena mengena untuk tidak hadir.”

Nadarajah berkata esok mereka akan menghantar surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Halimah berhubung isu itu.

Sementara itu, presiden Hindu Sangam, Mohan Shan yang turut menghadiri mesyuarat itu memohon 50 orang dibenarkan menyertai perarakan pedati Thaipusam.

“Tahun ini cuma 10 orang dibenarkan tetapi tidak cukup. Kami kemudian terpaksa minta bantuan polis.

“Kami harap pihak berkuasa akan benarkan 50 orang ikut pedati seperti yang dicadangkan semasa mesyuarat.”

Mohan turut mempersoalkan kenyataan Halimah yang mengharamkan perarakan Thaipusam.

“Kita tidak tahu adakah isu itu dibawa ke MKN?

“Kami harap dapat penjelasan Kementerian Perpaduan mengenai apa yang dibincangkan dengan MKN mengenai perkara itu.” – 7 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen